Cari @ Amanz

Algoritma ialah perkataan yang diketahui oleh ramai pengguna di Internet walaupun mereka mungkin tidak begitu mahir dalam matematik. Ia mengawal bagaimana gambar dipaparkan di susur masa laman media sosial, saranan makanan di aplikasi pesanan makanan dan memadankan anda kepada jodoh dalam aplikasi temu janji. Penggunaan yang salah menyebabkan penyebaran berita palsu yang kini merencatkan perang menentang Covid-19 di seluruh dunia.

Satu negara yang melihat bahaya penggunaan algoritma tanpa kawalan ialah China. Badan Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) hari ini mengumumkan draf garis panduan baharu yang mengandungi 30 perkara untuk mengawal penggunaan algoritma oleh firma-firma teknologi.

Antara garis panduan yang diberikan ialah algoritma tidak boleh digunakan untuk mewujudkan ketagihan kepada pengguna untuk membeli, membahayakan ketenteraman awan dan mengancam keselamatan negara. Pengguna pula perlu diberikan kuasa untuk mematikan algoritma dalam aplikasi yang digunakan. Sebarang algoritma yang boleh mengusai persepsi orang ramai pula perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan CAC.

Draf masih di peringkat awal dengan orang ramai diminta memberikan saranan mereka kepada CAC sehingga 26 September ini. Kerajaan China menggunakan kuasa mereka tahun ini untuk mengawal kuasa syarikat teknologi besar. Akta kawalan pengumpulan data peribadi, memaksa perkhidmatan penghantar makanan mengubah algoritma yang didakwa tidak adil kepada penghantar, dan menghalang IPO beberapa syarikat besar seperti Ali Baba.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd