Adakah peranti boleh-lipat masih lagi relevan di dalam dunia telefon mudah alih moden? Samsung masih merasakan terdapat pasaran untuknya dan beberapa hari yang lalu melancarkan Samsung Galaxy Z Fold3 dan Samsung Galaxy Z Flip3 secara serentak. Strategi yang cukup berani kerana sebelum ini siri Flip dilancarkan di awal tahun dengan Fold pula pada penghujung tahun bagi mengelakkan pertindanan.
Ketika artikel ini ditulis, pasaran peranti boleh-lipat masih lagi kecil dengan hanya Samsung, Motorola, Royole dan Huawei menghasilkan peranti yang boleh dibeli. TCL dan Oppo masih lagi di peringkat prototaip dengan tiada petanda ia akan dipasarkan dalam masa terdekat.
Saya bernasib baik keran Samsung Malaysia menghantar seunit Z Fold3 untuk diulas oleh Amanz. Dengan harga dan tarikh jualan belum lagi diumumkan untuk negara kita yang tercinta ini. Adakah interasi ketiga Galaxy Z Fold adalah kemas kini yang baik serta akhirnya akan menjadikan skrin boleh-lipat sebagai the next form factor? Ini pandang pertama saya untuk Z Fold3.
Spesifikasi
Samsung Galaxy Z Fold3 | |
---|---|
Skrin | Luar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+ |
Pemproses | Qualcomm Snapdragon 888 (5nm) |
Cip | 1 X 2.84 GHz Kryo Prime 680 3 X 2.42 GHz Kryo Gold 680 4 X 1.8 GHz Kryo Silver 680 |
Cip Grafik | Adreno 660 |
RAM | 12GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 256/512 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 12+12+12 Megapixel f/1.8+f/2.4+f/2.2, Zum optikal 2X, Ultra sudut lebar, OIS |
Kamera Swafoto | Luar – 10MP f/2.2 Dalam – 4MP f/1.8 UDC |
Bateri | 4400 mAh Pengecasan berwayar 25W Pengecasan nirwayar 11W Pengecasan berbalik 4.5W |
SIM/Telefoni | Nano/5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IPX8 |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi |
Harga Jualan | RM 6699/7099 |
Skrin
Mustahil untuk memulakan perbualan mengenai Z Fold3 tanpa menyentuh mengenai skrinnya terlebih dahulu kerana ialah adalah sebab utama mengapa ia dihasilkan. Skrin luar masih lagi sebesar 6.2″ Dynamic AMOLED 2X yang lebih tinggi dari lebar. Ia mengingatkan saya kepada nisbah skrin Xperia 1 II yang pernah diulas sebelum ini.
Masih terasa terlalu panjang dan pipih untuk digunakan sepanjang masa. Sejak dari Fold pertama lagi saya hanya menggunakan skrin sekunder ini untuk membaca mesej, WhatsApp dan Waze ketika memandu. Masih tiada pemegang telefon dihasilkan untuk siri Z Fold walaupun sudah tiga tahun maka ia hanya boleh digunakan dalam mod tertutup pada waktu ini ketika memandu.

Skrin masih lagi bersaiz sama tetapi akhirnya dipertingkatkan dengan sokongan kadar segar semula 120Hz secara adaptif. Tahun lalu perbezaan skrin luar 60Hz dan skrin dalam 120Hz menjadi isu di kalangan sesetengah pengulas. Saya secara peribadi tidak merasakan ini adalah isu besar kerana jarang sekali menggunakan skrin luar berbanding dalam.
Masih wujud lubang tetapi secara keseluruhan skrin luaran ini adalah cantik dengan paparan warna yang tepat. Tiada isu untuk menggunakan di luar juga kerana panel AMOLED Samsung terbaik di pasaran sehingga boleh digunakan di bawah cahaya mentari Malaysia yang terik.

Skrin dalaman ialah hero sebenar siri Z Fold3. Saiz juga dikekalkan 7.6″ Dynamic AMOLED 2X dengan kadar segar semula 120Hz adaptif. Lapisan UTG kembali bagi mengelakkan calar dengan mudah tetapi Samsung masih belum mampu menghilangkan kesan lipatan yang ketara. Jika anda macam saya sudah menggunakan mod gelap sepanjang masa, lipatan skrin tidak kelihatan begitu nyata. Ketika menonton video juga ia berjaya disorokkan oleh visual yang sedang ditonton pada skrin.
Tetapi adalah amat jarang sekali Samsung tidak memperbaiki isu yang menjadi rungutan pengguna sejak tiga tahun lalu. Selepas tiga iterasi peranti Z Fold dan tiga lagi iterasi pada siri Z Flip lurah dendam skrin masih wujud. Tambah aneh apabila anda melihat Huawei sudah menghapuskan isu lipatan ini dalam masa hanya dua tahun. Skrin Huawei Mate X2 bukan sahaja tidak mempunyai sebarang kesan lipatan tetapi juga lebih besar.

Sebagai syarikat yang mempunyai reputasi menggunakan teknologi yang paling terkini, canggih dan terbaik kewujudan lipatan skrin pada Z Fold3 adalah agak membingungkan. Lebih membingungkan ialah penggunaan teknologi kamera bawah skrin (UDC) yang juga terkebelakang. Saya faham mengapa lubang kamera swafoto digantikan dengan UDC tetapi implementasinya pada Z Fold3 menunjukkan ia masih belum bersedia untuk prime time.
Memang skrin kini boleh digunakan secara menyeluruh tanpa cela lubang tetapi mata saya tak boleh tidak melihat kamera masih belum dapat disorokkan sepenuhnya. Pada latar belakang putih nampak perbezaan warna yang ketara berbentuk bulat pada skrin.

Ketika menonton video ia tidak begitu ketara kerana imej yang sentiasa bergerak tetapi ketika melayari web, menggunakan Twitter dan Instagram misalnya lubang kamera ini sedikit mengganggu. Xiaomi dan ZTE membuktikan kamera sudah boleh disorokkan dengan baik pada peranti mereka tahun ini. Samsung gagal melakukannya saya rasakan adalah mengecewakan.
Cukup pembantaian skrin boleh-lipat pada waktu ini kerana sebenarnya ia skrin yang cantik dan sedap mata memandang. Lebih terang sehingga 20% berbanding tahun lalu dan paparan warna HDR10+ yang mantap. Tiada isu color-banding dan imej tidak tajam pada skrin ini. Kandungan resolusi tinggi nampak hidup dan cukup menawan. Dari sudut pandangan insan yang banyak menonton video pada skrin peranti, skrin dalaman Z Fold3 lulus periksa dengan lima bintang.

Yang tidak menerima bintang ialah apabila digunakan di luar. Skrin hadapan saya puji kerana imej masih dapat dilihat terang tetapi pisang tidak berbuah dua kali pada skrin dalaman. Masih sedikit sukar menggunakan skrin dalaman di bawah cahaya matahari yang terik. Selepas sehari menggunakan dapat dilihat isu seperti Z Fold2 tahun lalu.
Penambahbaikan keterangan dapat dilihat tetapi kita bercakap mengenai peranti Samsung di sini yang tahun demi tahun diberikan pujian dari segi keterangan di bawah cahaya matahari terik. Apabila palang prestasi tinggi yang ditetapkan mereka sendiri ini tidak berjaya dipenuhi, rasa seperti rakyat Singapura kecewa dengan Joseph Schooling yang gagal layak ke final renang di Olimpik Tokyo tempoh hari.
S Pen
Selain kemampuan kalis air untuk julung kalinya, sokongan S Pen juga diberikan sekali bagi mengubati kerinduan penungguan siri Note. Ada berita baik dan buruk untuk peminat siri Note ingin saya sampaikan. Berita baik ialah sokongan stylus yang diberikan adalah setanding seperti pada siri Note. Namun begitu anda perlu membeli S Pen Pro yang hadir dengan sokongan bluetooth. Sokongan gestur dan kawalan tambahan hanya boleh dinikmati pada S Pen Pro.

Terdapat juga S Pen Fold Edition yang mempunyai mata pena bergetah dan sistem penyerap tekanan menggunakan spring. Untuk mengelakkan skrin boleh lipat dari mengalami kerosakan, dua sistem ini diperkenalkan. Malang sekali jika anda ingin menggunakan S Pen dari siri Note, Z Fold3 tidak akan mengesannya langsung. Malah amaran dipaparkan pada skrin supaya tidak menggunakannya bagi mengelakkan kerosakan yang serius.
Satu lagi perkara yang perlu disentuh ialah sokongan S Pen tidak diberikan pada skrin luar dan S Pen tidak disimpan secara terbina pada tubuh Z Fold3. Sebaliknya sebuah kerangka khas perlu dibeli secara berasingan.

Rekaan
Rekaan tahun ini lebih rata, padat, nipis dan tahan lasak. Dengan sisi yang rata memegang peranti terasa lebih sedap dan selamat di dalam tangan. Tiada lagi phobia peranti terjatuh kerana sisi bulat yang digunakan sebelum ini adalah agak licin. Ini dipadankan lagi dengan warna hitam matte yang tidak licin. Permukaannya terasa lebih kasar seperti Phantom Black Galaxy S21 Ultra yang saya juga sempat ulas awal tahun ini.
Samsung mengubahsuai lagi bahagian engsel bagi membolehkan peranti diutup lebih nipis sekitar 0.8mm. Bukanlah perbezaan ketebalan yang drastik tetapi berjaya membuatkan peranti terasa lebih selesa disimpan di dalam poket seluar. Tiada lagi perasaan seperti sedang menyimpan bekas penyimpan alat tulis yang digunakan oleh kanak-kanak sekolah.

Dengan rekaan baharu, peranti akhirnya diberikan kemampuan kalis air IPX8 yang amatlah diperlukan. Samsung Galaxy Z Fold3 dan Z Flip3 adalah dua peranti boleh lipat pertama yang berjaya melepasi piawaian ini. Ia boleh dibenamkan di dalam air sehingga 30 minit dan sehingga 1.5 meter tanpa masalah. Saya tidak mencubanya sendiri kerana peranti sekadar dipinjam dan sebarang kerosakan (jika berlaku) perlu ditanggung sendiri. Oleh sebab yang sama Samsung Malaysia menawarkan jaminan gantian skrin, panel belakang dan kalis air percuma kepada pembeli yang melakukan pra-tempahan sekarang.
Butang kuasa dan laras suara masih lagi di kedudukan yang sama iaitu di ‘sayap’ kanan peranti. Kedua-duanya diperbuat daripada logam yang kukuh. Pengimbas cap jari fizikal terbina pada butang kuasa yang bersaiz besar. Ia mengimbas cap jari dengan pantas walaupun sekiranya ia basah. Satu fakta yang tidak ingin diakui oleh pengeluar peranti ialah pengimbas cap jari fizikal masih lebih pantas berbanding pengimbas bawah skrin dan wajah. Ia mungkin dianggap kuno tetapi masih sesuai digunakan pada Z Fold kerana rekaan peranti yang unik.

Sementara itu dua kekisi audio stereo diletakkan pada bahagian atas dan bawah peranti. Speaker adalah cukup besar dengan sokongan audio Dolby Atmos. Samsung masih percaya sepasang speaker adalah mencukupi walaupun Mi MIX Fold yang dilancarkan Mac lalu dilengkapi empat speaker.
Dari segi spesifikasi pula pemproses Qualcomm Snapdragon 888 dipadankan dengan memori 12GB LPDDR5 RAM dan storan sehingga 512GB. Pengguna di Malaysia tidak perlu risau wujud dua versi berbeza di pasaran seperti siri Galaxy S. Ini ialah cip yang kedua paling berkuasa di pasaran untuk platform Android tahun ini. Ura-ura penggunaan cip Exynos dengan GPU AMD dan Snapdragon 888+ nampaknya tidak berlaku. Namun begitu saya tidak melihat ini sebagai negatif kerana Snapdragon 888 masih lagi sebuah cip yang berkuasa tinggi.

Dipadankan dengan kamera utama dan luar yang spesifikasinya tidak berubah dari tahun lalu. Ya masih lagi kamera 12+12+12 MP di luar dengan lensa sudut lebar, ultra sudut lebar dan telefoto 2X optikal dengan kamera hadapan 10MP. Perubahan dilakukan pada kamera dalam 4MP UDC yang lebih kecil berbanding 10MP tahun lalu. Ya sensor lebih kecil diberikan untuk memberikan rekaan skrin penuh sebenar. Tiada perubahan pada spesifikasi kamera cuma bonggol tahun ini lebih rendah berbanding tahun lalu.
Kesemua komponen yang berkuasa ini dimasukkan ke dalam tubuh bersaiz 158.2 x 67.1 x 14.4-16 mm apabila tertutup dan 1158.2 x 128.1 x 6.4 mm apabila dibuka dengan berat 271 gram. Z Fold3 adalah lebih kecil dan lebih ringan jika dibandingkan dengan Z Fold2.
Penggunaan Dan Perisian

Penggunaannya adalah sama seperti peranti lain di pasaran. Dalam posisi tertutup skrin utama kini cukup besar untuk melayari web dan menggunakan aplikasi media sosial. Tetapi seperti yang saya katakan beberapa perenggan di atas, nisbah skrin hadapan yang terlalu tinggi menjadikan laman kelihatan terlalu memanjang. Pada waktu yang sama kerana skrin hadapan masih terlalu runcing, proses menaip masih lagi tidak selesa bagi insan yang bertangan besar seperti saya. Saya rasakan nisbah menggunakan skrin besar kepada skrin kecil setakat ini ialah 85:15 kerana masih tidak berapa selesa.

Saya katakan ini dari seorang yang sudah menggunakan dua versi Fold yang terdahulu. Walaupun sudah ada pengalaman lampau, saya masih belum berjaya menggunakan skrin hadapan dengan selesa. Menggunakan skrin dalaman terasa semudah menggunakan sebuah tablet. Transisi menggunakan aplikasi skrin luar ke skrin dalam – Continuity Mode – kini semakin pantas dan lancar. Dibantu dengan kedua-dua skrin yang kini 120Hz.
Menatal terasa lancar. Apabila menjalankan jari pada bahagian tengah skrin masih dapat dirasakan longkang yang wujud di tengah-tengah. Selepas tiga tahun perasaan aneh tidak lagi dapat saya rasai tetapi bagi mereka yang belum pernah menggunakan Z Fold ia akan terasa agak canggung.

Samsung memberikan tumpuan yang lebih banyak pada perisian tahun ini dengan sokongan lebih banyak aplikasi pihak ketiga. Pengguna boleh membuka pautan dalam Samsung Internet pada skrin kedua menerusi mod multi-view. Aplikasi yang tidak direka khusus untuk Z Fold3 boleh dipaksa untuk menyokong Flex Mode sekarang. Isu kekurangan aplikasi diselesaikan dengan cukup mudah.
Ciri paling menarik bagi saya pastinya dermaga pada sisi kanan skrin. Ini ialah ciri yang kali pertama diperkenalkan oleh Xiaomi pada Mi MIX Fold. Sebuah dermaga aplikasi yang sudah dibuka dan aplikasi kegemaran boleh disematkan sentiasa di sisi kanan skrin. Ini menjadikan Z Fold3 berfungsi seperti sebuah komputer desktop DeX, macOS dan Windows 11. Bagi mereka yang gemar melakukan multi-tugas ini ciri yang perlu diaktifkan pada hari pertama pembelian kerana mempercepat dan mempermudahkan penggunaan pelbagai aplikasi serentak.

Aplikasi dari Spotify, Google dan Microsoft kini menggunakan skrin yang lebih besar dengan lebih baik. Dapat dilihat menu tambahan pada sisi skrin dalam photos dan YouTube mempamerkan dua lajur thumnail dalam aplikasi. Sebagai sebuah peranti hibrid sokongan ini amatlah diperlukan kerana kita tidak mahu apa yang terjadi pada tablet Android (kurangnya aplikasi spesifik tablet) berulang sekali lagi.
Penanda Aras
Markah penanda aras yang dicatatkan menggunakan Geekbench 5 dan Antutu 3D adalah seperti di bawah. Ia adalah setanding dengan markah peranti lain yang menggunakan Snapdragon 888. Prestasi menjalankan permua adalah baik tanpa sebarang isu. Masa diambil untuk memproses video juga adalah amat pantas. Isu yang wujud hanyalah peranti menjadi panas ketika memainkan permua bergrafik tinggi dan melalukan pasca-proses gambar yang diambil. Ini ialah isu yang wujud pada semua peranti dengan Snapdragon 888 tahun ini. Peranti boleh menjadi kurang selesa di dalam tangan untuk sesi permua yang lama.
Jika ada kekecewaan yang wujud ialah penggunaan cip Snapdragon 888. Ia adalah berita baik cip Snapdragon digunakan dan bukan Exynos kerana di Malaysia cip keluaran Qualcomm adalah lebih popular di kalangan pengguna. Tetapi Xiaomi, Vivo, ZTE dan ASUS sudahpun menawarkan peranti dengan cip Snapdragon 888_+ yang lebih berkuasa. Di atas kertas perbezaan antara 888 dan 888+ adalah kecil tetapi di minda pengguna newer is always better dan dalam perang persepsi, Z Fold3 mungkin dilihat sebagai dilengkapi cip yang kurang berkuasa.

Telefoni dan GPS
Terdapat sokongan rangkaian 5G tetapi ini tidak mampu saya uji kerana belum ditawarkan di Malaysia. Panggilan telefon menggunakan rangkaian LTE adalah memuaskan, jelas dan tanpa sebarang masalah. Jika syarikat telekomunikasi anda menyokong VoLTE dan panggilan menggunakan WiFi kualiti panggilan saya rasakan adalah lebih baik dan jelas. Sokongan untuk dwi SIM disertakan tapi hanya satu fizikal bersaiz nano dan satu lagi dalam bentuk eSIM.
Prestasi GPS juga amat pantas seperti peranti Samsung mercu lain yang diuji sebelum ini. Aplikasi Waze dan Maps apabila digunakan dapat menjejak lokasi kenderaan dalam masa kurang dua saat. Ketika memandu pula tiada isu secara tiba-tiba kehilangan isyarat atau lokasi yang salah ditunjukkan dalam aplikasi. Sebagai telefon ialah bagus sebagai peranti GPS ia cemerlang.
Kamera
Spesifikasi skrin pada Z Fold3 adalah mega kerana bukan satu tetapi dua diberikan. Tetapi pada spesifikasi kamera ia lebih konservatif jika ingin dibandingkan dengan S21 Ultra. Ketiga-tiga sensor kamera utama adalah sebesar 12MP sahaja. Tiada sistem zum periskop sehingga 100 kali atau sensor bersaiz gergasi. Di bahagian hadapan pula kamera sebesar 10MP dan di bawah skrin boleh-lipat pula hanya sebesar 4MP. Penggunaan sensor yang kecil ini tidak kongruen dengan tema ‘ini ialah peranti yang serba serbi paling maju’. Kali terakhir sensor kamera swafoto yang kecil digunakan ialah pada tahun 2014 di Galaxy S5 – sensor swafoto 2MP sahaja.

Tetapi saya ingin menjadi advokat syaitan untuk seketika dalam ulasan ini. Saya secara peribadi merasakan sensor 12MP yang ditala dengan terperinci dan dipadankan dengan perisian yang sempurna adalah lebih baik dari sensor bersaiz gergasi. Selepas mengulas Z Flip3 dan Z Fold3 yang kedua-duanya dilengkapi hanya sensor 12MP saya rasakan hipotesis saya adalah hampir tepat.
Gambar masih tajam tanpa masa pasca proses yang lambat sehingga memanaskan peranti. Gambar masih lagi cantik dengan julat dinamik yang amat memuaskan. Video yang diambil masih padu kerana dipadankan dengan sistem anti gegaran elektronik dan OIS yang antara terbaik di pasaran. Secara keseluruhan pengalaman menggunakan kamera pada Z Fold3 adalah memuaskan cuma prestasi mod malam sahaja di bawah S21 Ultra. Kelebihan sensor besar S21 Ultra yang menggabungkan 4 pixel (quad-binning) menjadi satu masih tidak boleh dikalahkan pada waktu ini. Tetapi pada situasi lain saya merasakan kamera Z Fold3 langsung tidak mengecewakan.

Yang mengecewakan ialah kualiti gambar dari kamera UDC bawah skrin pada skrin boleh-lipat. Gambar kelihatan lebih kabur dengan warna kuran bermaya jika dibandingkan dengan hasil gambar dari empat kamera yang lain. Gambar swafoto kedua jelas menujukkan teknologi kamera UDC Samsung masih belum cukup matang. Sementara itu gambar dari kamera swafoto 10MP di luar adalah tajam, jelas dan mempunyai warna yang lebih hidup.








Bateri
Bateri 4400 mAh dipadankan dengan skrin 7.6″ 120Hz dan skrin sekunder 6.2″ 120Hz adalah kombinasi yang menggerunkan kerana kapasiti bateri adalah lebih kecil berbanding Galaxy S21 Ultra dengan 5000 mAh. Dalam penggunaan berat saya hanya mampu mendapatkan SOT sehingga 9 jam sahaja dengan peranti bertahan selama 10 jam. Hayat penggunaan yang lebih lama sekitar 40 jam dapat dinikmati tetapi dengan SOT sekitar 5 jam sahaja. Isu bateri tahun lalu masih wujud tetapi ini akan hanya dapat diselesaikan dengan teknologi bateri yang membolehkan kapasiti lebih besar dimampatkan ke dalam bateri dengan saiz fizikal yang lebih kecil.

Penggunaan sistem pengecasan yang 25W yang juga tidak begitu besar juga sedikit mengecewakan. Bateri boleh dicas semula dari sifar ke 100% dalam masa 80 minit. Saya faham penggunaan sistem pengecasan yang ‘perlahan’ ini memastikan bateri boleh bertahan lebih lama.
Tetapi dengan pesaing sudah mula menyokong pengecasan sehingga 120W, sampai bila Samsung dan pengguna dapat bersabar? Saya mungkin sebilangan kecil yang tidak begitu peduli dengan pengecasan adipantas tetapi majoriti pelanggan peduli. Pada waktu ini hanya Apple kalah kepada Samsung dalam teknologi pengecasan kerana iPhone 13 masih menggunakan pengecas 20W sahaja. Oh sebelum terlupa sekali lagi pengecas Z Fold3 perlu dibeli secara berasingan.
Audio
Audio ialah antara kekuatan Z Fold3. Dua speaker stereo peranti amatlah lantang apabila diletakkan pada tetapan yang paling tinggi. Kerana speaker terletak berjauhan pada ‘daun pintu’ yang berbeza, pemisahan stereo dapat didengar lebih baik terutamanya dalam permua. Amat sedap bunyinya lebih-lebih lagi jika sistem Dolby Atmos diaktifkan. Tiada bicu audio tetapi di tahan 2021 ia bukan lagi isu besar memandangkan TWS sudah menjadi semakin mampu milik. Pemilik aksesori audio premium turut boleh menstrim audio menggunakan codec LDAC pada Z Fold3.
Perkara negatif yang kami jumpa hanya speaker boleh tertutup dengan tangan ketika menonton video atau memainkan permua. Penyelesaiannya ialah memutarkan peranti 180 darjah supaya speaker di atas tanpa dihalang telapak tangan.

Pesaing
Pesaing sebenar untuk Z Fold3 adalah peranti premium lain di pasaran. Oleh itu saya bandingkan peranti skrin boleh-lipat ini dengan iPhone 13 Pro Max dan Vivo X70 Pro+ yang paling terkini dan berkuasa.
Samsung Galaxy Z Fold3 | Apple iPhone 13 Pro Max | Vivo X70 Pro+ |
Luar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz (374 ppi) Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+ | 6.7″ Super Retina XDR OLED, 11284 x 2778, 120Hz, Dolby Vision, (458 ppi) | 6.78″ OLED, 1440 x 3200, 120Hz, HDR10+ (517 ppi) |
Snapdragon 888 (5nm) 1 X 2.84 GHz Kryo Prime 680 3 X 2.42 GHz Kryo Gold 680 4 X 1.8 GHz Kryo Silver 680 | Apple A15 Bionic (5nm) 2 X ? GHz Avalanche 4 X ? GHz Blizzard | Snapdragon 888+ (5nm) 1 X 3.0 GHz Kryo Prime 680 3 X 2.20 GHz Kryo Gold 680 4 X 1.8 GHz Kryo Silver 680 |
Adreno 660 | Apple GPU 5 Teras | Adreno 660 |
12 GB LPDRR5 | 6 GB | 4 GB LPDDR5 |
128/256 GB UFS 3.1 | 128/256/512/1000 GB NVMe | 128/256/512 UFS 3.1 |
Kamera Utama 12+12+12 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4) OIS | Kamera Utama 12+12+12 Megapixel (f/1.5+f/1.8+f/2.8), 3D ToF, IBIS | Kamera Utama 50+48+12+8 Megapixel (f/1.6+f/2.2+f/1.6+f/3.4) OIS |
Kamera Hadapan 10-Megapixel f/2.2 4-Megapixel f/1.8 (UDC) | Kamera Hadapan 12-Megapixel f/2.2 | Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.5 |
IPX8 | IP68 | IP68 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
4400 mAh (Berwayar 25W) | 4352 mAh (Berwayar 20W) | 4500 mAh (Berwayar 55W) |
Harga bermula RM 6699 | Harga bermula RM5299 | Harga bermula RM3534* |
Kesimpulan
Dengan harga RM6699, Samsung Galaxy Z Fold3 memang kelihatan seperti sebuah peranti yang terlalu mahal. Tetapi selepas menggunakannya selama lebih dua minggu saya dapat melihat siapa golongan sasaran Samsung tahun ini. Bagi mereka yang memang inginkan telefon yang boleh berubah menjadi tablet, mempunyai pelayar web kelas desktop, sistem multi tugas kelas desktop, dan penggunaan sehingga tiga aplikasi serentak adalah amat berguna bagi mereka yang memerlukan sebuah komputer yang boleh dimasukan ke dalam poket.
Harus saya akui Z Fold3 memang bukan sebuah peranti untuk semua sama seperti siri Galaxy Note. Ia masih lagi niche tetapi bagi mereka yang inginkan telefon pintar yang paling serbaguna di pasaran, Z Fold3 ialah peranti yang direka khusus untuk anda sekarang. Kekuatan terletak pada skrin yang besar, perisian yang amat baik, spesifikasi yang memastikan kelancaran menjalankan pelbagai aplikasi dan faktor cool yang tinggi melangit. Bagi peminat Galaxy Note, ia peranti yang boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan phablet kegemaran anda tahun ini. Skrin gergasinya juga membuatkan sesi permua selepas waktu kerja menjadi lebih seronok.

Masih ada kekurangan yang ketara pada hayat bateri yang agak pendek untuk tahun 2021 dipadankan mula dengan pengecasan yang tidak begitu pantas. Kemampuan kamera adalah baik tetapi di belakang S21 Ultra dan peranti mercu Android yang lain kerana tiada kemampuan zum yang amat jauh. Ini pengorbanan yang dilakukan untuk mendapatkan tele-tablet yang terbaik di pasaran pada waktu ini.
Adakah berbaloi? Ini soalan yang kerap disoal kepada saya di media sosial. Jawapannya ya jika anda mahukan peranti paling unik di pasaran yang bukan sekadar gimik kerana benar-benar bileh meningkatkan produktiviti semasa di luar pejabat. Paling menarik ialah dengan harga jualan RM6699/7099 ianya tidak terlalu melampau apabila dibandingkan dengan iPhone 13 Pro Max yang dijual pada harga RM 5799/6699 dengan saiz storan yang setanding 256/512GB.
Pro
- Rekaan yang bukan sahaja kemas tetapi amat menarik perhatian.
- Skrin besar boleh-lipat cukup berguna untuk produktiviti.
- Spesifikasi mercu yang berkuasa.
- Mod multi-tugas terbaik pada peranti boleh-lipat.
- Kemampuan kamera yang baik.
- Harga jualan yang lebih munasabah.
Kontra
- Bateri berkapasiti agak kecil tidak begitu tahan lama.
- Kamera UDC tidak cukup tajam dan kelihatan pada skrin.
- Skrin masih mempunyai kesan lipatan.
- Sistem pengecasan 25W yang agak perlahan untuk peranti mercu.
- Skrin luar kurang praktikal kerana masih runcing.
