Siri Vivo X70 Akan Dilancarkan Secara Rasmi Pada 9 September Ini

Diterbitkan pada Ogos 30, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Selepas tertiris dalam beberapa imej pengolokan tular, Vivo kini secara rasminya mengumumkan tarikh pelancaran untuk siri Vivo X70 menerusi perkongsian terkini di Weibo, hari ini. Imej berbentuk poster pelancaran itu menunjukkan bahawa siri Vivo X70 akan dilancarkan pada 9 September 2021.

Dalam pada itu, laman pengiklanan rasmi untuk siri berkenaan juga telah mula diterbitkan bagi memulakan proses pendaftaran minat. Apa yang menariknya, rekaan untuk salah satu daripada model di bawah siri berkenaan iaitu Vivo X70 Pro+ telah diperlihatkan sepenuhnya dengan lebih dekat menerusinya.

Ia kelihatan mirip dengan imej pengolokan yang pernah tersebar sebelum ini. Ia menampilkan bonggol kamera besar yang disertakan dengan tiga kamera disusun secara menegak dan satu sensor tambahan di sisi. Turut kelihatan, terdapatnya penjenamaan Zeiss bersaiz kecil, sokongan LED Flash dalam bentuk memanjang dan beberapa lagi logo kecil lain bersama-sama dengannya. Panel hadapan pula menggunakan skrin berlubang di tengah.

Kalau perasan, trend bonggol kamera besar sebegini turut pernah digunakan oleh beberapa model telefon pintar lain sebelum ini. Antaranya seperti, OnePlus 8T Cyberpunk Edition, Mi 11 Ultra, Nubia Z30 Pro dan RedMagic 6. Bezanya, Vivo menggunakan panel kaca tambahan padanya. Untuk ketahui penawaran lebih lanjut, sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi kelak.

Sumber : Weibo

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami