Sejak wabak COVID-19 membelenggu dunia pada tahun lepas, dunia memperlihatkan kekurangan bekalan cip secara global kerana banyak kilang pembangun elektronik terpaksa ditutup untuk membendung wabak ini daripada terus menular.
Pada awalnya, Malaysia dilihat sebagai salah satu contoh terbaik dalam cara untuk membendung wabak ini, mengurangkan kes beberapa ratus sehari ke satu digit dalam masa beberapa bulan sahaja. Walaupun begitu, sejak penghujung tahun lepas, jumlah kes dilihat meningkat dengan mendadak dan kini kes positif harian dilihat mencecah 20,000 kes setiap hari untuk beberapa minggu.
Bloomberg melaporkan bahawa oleh kerana kes positif yang sangat tinggi, sejumlah besar pembuat cip pemprosesan yang mempunyai kilang-kilang di negara ini terpaksa menunda atau menutup operasi mereka sementara waktu kerana jumlah kes yang tinggi ini.
Diantara syarikat-syarikat yang terkesan kerana isu penularan wabak ini termasuklah Infineon Technolgies, NXP Technologies dan STMicroelectronics NV yang sudah sekian lamanya bertapak di Malaysia untuk mengilangkan cip-cip semikonduktor untuk kegunaan global.
Ford, jenama automotifi terkemuka yang berpengkalan di Amerika Syarikat juga dilihat terpaksa menunda pembuatan kenderaan pacuan empat-roda F-150 mereka untuk seketika kerana kekurangan bekalan komponen semikonduktor yang dikilangkan di Malaysia.
Toyota Motor Corp juga mengatakan bahawa pembangunan kenderaan di 14 kilang mereka kerana pembekal komponen di sekitar Asia Tenggara terpaksa ditutup kerana kluster COVID-19 yang masih lagi berleluasa di negara-negara seperti Thailand, Vietnam dan juga Malaysia.
Kilang-kilang yang terkesan akibat wabak COVID-19 akan diarahkan untuk ditutup selama sekurang-kurangnya dua minggu untuk menguji para pekerja yang positif, disamping kerja pembersihan dan pembasmian kuman di kilang-kilang ini. Penutupan kilang-kilang selama dua minggu juga bermakna bahawa bekalan komponen yang terputus mengakibatkan syarikat-syarikat lain tidak dapat menyiapkan produk-produk mereka sendiri, dan ini secara langsung menyebabkan pelbagai produk elektronik, automotif dan sebagainya terpaksa ditunda penjualan atau pelancarannya secara global.
Sumber: Bloomberg