Di awal serangan wabak Covid-19, saintis mencari sukarelawan yang sanggup membenarkan diri mereka dijangkiti virus bagi tujuan pembangunan vaksin yang lebih pantas. Vaksin dibangunkan menggunakan virus asal SARS-CoV-2 yang merupakan strain yang ditemukan di Wuhan China. Tetapi strain dominan di dunia sekarang ialah varian Delta yang lebih mudah berjangkit dan berbahaya sehingga mengakibatkan keberkesanan vaksin sedia ada berkurangan untuk menentangnya.
Kini menurut laporan WSJ, saintis dari Imperial College dan Oxford University akan memulakan ujian menjangkiti manusia dengan varian Delta secara sengaja bagi mempercepatkan penghasilan vaksin yang lebih berkesan untuk menentangnya. Setiap sukarelawan akan dibayar sehingga £4,500 (~RM25,810) seorang kerana sanggup membahayakan keselamatan diri demi kemajuan sains.
Kajian telah dimulakan sejak Mac tahun ini dengan fasa pertama sebanyak 40 sukarelawan dijangkiti varian asal dari Wuhan terlebih dahulu dan dipantau 24 jam sehari. Fasa kini bergerak kepada dijangkiti pula dengan varian Delta. Saintis pada awalnya mengalami masalah mendapatkan jumlah virus varian Delta mencukupi bagi melakukan kajian Human Challenge Trial ini kerana ia sukar dibiak di dalam makmal.
Dengan bantuan firma hVivo, 500 ml virus Delta telah dihasilkan dalam makmal sebelum suntikan ke dalam tubuh akan dilakukan pada November ini. Penghasilan semula di makmal dilakukan bagi memastikan ia virus varian Delta bukan yang telah mengalami satu lagi mutasi.
Bayaran yang diberikan adalah lumayan tetapi ia tidak semudah mengangkat tangan dengan berani. Sebaliknya sukarelawan perlu berada dalam lingkungan usia 18-30 tahun, sihat tubuh badan tanpa komorbid, tidak obese, tidak pernah merokok dan tidak pernah dijangkiti Covid sebelum ini. Kesemua syarat dikenakan bagi mengurangkan risiko kepada peserta.