Kemaskini kepada konsol permainan bukanlah sebuah konsep yang baru. Secara lazimnya, kemaskini akan diperlihatkan beberapa tahun selepas konsol asal dilancarkan, dan setelah pelbagai ujikaji dijalankan, pembangun konsol ini akan hadir dengan rekaan yang berbeza daripada konsol asal untuk menjimatkan kos, disamping mengekalkan prestasi konsol sekitar tahap yang sama, ataupun memperkenalkan model yang lebih berkuasa.
Ini boleh dilihat apabila Sony melancarkan konsol PlayStation 4 dan PlayStation 4 Pro. Anehnya, kali ini Sony dilihat secara senyap memperkenalkan konsol PlayStation 5 yang sedikit lebih ringan, tetapi mengekalkan rekaan yang sama. Apabila Austin Evans, seorang YouTuber teknologi terkemuka mendapatkan sebuah model dengan kemaskini ini, dia membuka konsol tersebut untuk melihat apakah yang berbeza dengan model “baru” ini.
Dalam videonya, konsol PlayStation 5 baru ini memperlihatkan rekaan sistem penyejukan yang lebih kecil dan ringan berbanding dengan model PlayStation 5 asal. Malah, kipas penyejukan yang mengalirkan haba daripada komponen kepada bahagian belakang konsol ini juga dilihat lebih kecil berbanding dengan rekaan asal.
Ujian pengaliran haba juga dijalankan pada dua model konsol ini, dan ia didapati bahawa konsol baru mengalirkan haba sekitar 5 darjah Celcius lebih tinggi berbanding dengan konsol PlayStation 5 yang dilancarkan pada mulanya.
Peningkatan suhu yang dialirkan dari penyejuk yang lebih tinggi bukanlah sesuatu yang asing, dan pada mulanya, kami jangka bahawa konsol-konsol ini masih boleh menggerakkan permainan video pada resolusi dan tetapan tinggi tanpa masalah.
Akan tetapi, perlu diingatkan bahawa di tahun-tahun akan datang, isu seperti habuk dan kotoran yang tersekat dalam penyejuk boleh menyebabkan peningkatan suhu komponen yang mana jika tidak dijaga dengan betul, boleh menyebabkan konsol-konsol ini untuk menjadi lebih panas, dan akan menyebabkan penutupan secara tidak sengaja kelak.
Samada masalah ini akan membelenggu pemilik konsol Sony PlayStation 5 yang membeli variasi baru ini di masa akan datang tidak diketahui lagi.