Microsoft hari ini telah mengumumkan mereka akan memperkenalkan Windows 11 dalam bentuk kemaskini kepada komputer baharu bermula 5 Oktober 2021 ini, sebelum ditawarkan secara berperingkat kepada pelbagai peranti sedia ada yang menyokongnya.
Selari dengannya, semestinya ramai yang tidak sabar menggunakan aplikasi Android pada komputer Windows 11 kelak.
Berita yang sedikit menyedihkan, Microsoft kini dilihat mengesahkan ciri ini akan ditangguhkan pengenalannya ke tahun 2022 kelak. Melalui perkongsian Microsoft, mereka mengatakan akan memulakan ujian sokongan aplikasi Android di Windows Insider dalam beberapa bulan lagi.
Microsoft membawa sokongan aplikasi Android ke Windows 11 melalui kerjasama Amazon, yang memerlukan pengguna memuat-turun dan memasang aplikasi Android melalui Amazon AppStore.
Dengan perkongsian baharu ini, kita mungkin perlu nantikan kemaskini Windows 11 akan datang untuk menikmati ciri sokongan aplikasi Android ini.