Jabra Elite 7 Pro, Elite 7 Active, dan Elite 3 Diumumkan Dengan Bateri Sehingga 35 Jam

Diterbitkan pada Ogos 31, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jabra telah melancarkan tiga lagi TWS terkini mereka masing-masing dengan ciri unik yang menyasarkan tiga kategori pengguna yang berbeza. Jabra Elite 7 Pro ialah model yang paling mercu di antara tiga TWS ini. Ia mempunyai rekaan yang lebih kecil berbanding TWS mereka sebelum ini seperti 75T. Rekaan yang lebih kecil ini dipilih selepas menganalisa lebih 62,000 bentuk telinga dan pengelaman menghasilkan fon telinga sejak 6 generasi yang lalu.

Jabra Elite 7 Pro menyokong mod pembatalan hingar (ANC) dan mod yang menembus bunyi menggunakan teknologi HearThrough keluaran mereka. TWS boleh ditambat kepada dua peranti secara serentak dengan butang kawalan sesentuh pula diletakkan pada bahagian sisi tubuh. Dengan sekali caj, Elite 7 Pro boleh beroperasi sehingga 9 jam atau sehingga 35 jam dengan sokongan pod pengecas. Pengecasan semula adalah menggunakan port USB-C.

Jabra Elite 7 Active pula adalah Elite 7 Pro versi bersukan yang kalis air dan juga mempunyai kemasan ShakeGrip lebih kasar bagi memastikan ia kemas di dalam telinga ketika dipakai. Ia adalah sama seperti Elite 7 Pro dengan kesemua ciri seperti ANC, mod tembus bunyi dan sokongan tambatan kepada dua peranti serentak.

Akhir sekali ialah Jabra Elite 3 yang merupakan versi mampu milik tanpa ANC tetapi mengekalkan mod tembus bunyi. Dengan sekali caj ia boleh beroperasi sehingga 7 jam atau sehingga 28 jam dengan pod pengecas. Ia turut kalis air melepasi piawaian IP55.

Jabra Elite 3 akan ditawarkan bermula bulan ini pada harga $79 (~RM328) sementara Jabra Elite 7 Pro dan Elite 7 Active pula bermula Oktober masing-masing pada harga $199 (~RM827) dan $179 (~RM744). Dengan pelancaran Elite 7 Pro dan Elite 7 Active, Jabra akan menghentikan jualan Elite 75t dan Elite 65.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami