Pada tahun lepas, NVIDIA melancarkan sejumlah siri kad grafik yang sangat berkuasa sekali, dan diantaranya ialah NVIDIA GeForce RTX 3090 yang setakat ini masih lagi tidak menemui sebarang pencabar dalam sektor kad grafik kelas pengguna.
Akan tetapi, kad grafik paling gah dari NVIDIA tersebut mungkin akan bertemu seterunya jika slaid pembentangan yang dilihat ini adalah benar. AMD dijangka akan mengumumkan kehadiran sebuah lagi kad grafik baru yang dikatakan akan menjadi model paling berkuasa mereka setakat ini.

Ia dinamakan AMD Radeon RX 6900 XTX dan ia menggunakan cip pemprosesan grafik Navi 21 XTXH yang sebelum ini digunakan dalam kad grafik AMD Radeon RX 6900XT LC yang menggunakan sistem penyejukan cecair untuk merendahkan suhu cip grafik tersebut.

Pada slaid pembentangan tersebut, ia dilihat bahawa selain daripada penggunaan cip grafik tersebut, kad grafik ini juga akan menggunakan memori GDDR6 dengan kelajuan 18Gbps, berbanding dengan sebelum ini dimana kad grafik AMD Radeon RX 6900XT menggunakan memori GDDR6 16Gbps. Penggunaan memori baru ini dilihat akan menambahkan prestasi kad grafik ini sebanyak 13 peratus berbanding dengan model RX 6900XT.
Butiran lanjut seperti penggunaan kuasa dan rekaan kad grafik baru ini, jika benar masih tidak diketahui lagi. Akan tetapi ia bukanlah sesuatu yang aneh jika AMD benar-benar dilihat akan cuba untuk melancarkan kad grafik yang mencabar takhta NVIDIA sebagai raja kad grafik tidak lama lagi, khususnya apabila ia dilihat betapa sengit persaingan diantara kedua-dua syarikat ini kebelakangan ini dalam arena komponen grafik pengguna.
Sumber: Tom’s Hardware