Cari @ Amanz

Dari kenderaan serupandu ke perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan, Grab boleh dikatakan perkhidmatan penghantaran yang cukup sering digunakan oleh rakyat, khususnya kini apabila negara masih dilanda isu pandemik COVID-19.

Melalui ciri Grab Supermarket, pengguna boleh memesan barangan runcit untuk dibeli dan dihantar ke rumah, tetapi secara lazimnya pengguna akan perlu memesan barang-barangan ini satu ke beberapa hari sebelum penghantaran, dan kadang-kala ia agak sukar untuk mengagak bilakah kita mahu keperluan runcit ini.

Terkini, Grab mengumumkan bahawa mereka sedang menguji ciri Grab Supermarket (Instant Delivery) yang mana pengguna perkhidmatan Grab boleh meminta penghantar barangan runcit untuk membeli dan menghantar barangan runcit mereka pada hari yang sama.

Untuk kesenangan semua yang terlibat, lokasi kedai pasar raya haruslah dalam lingkungan 7KM dari rumah pembeli, dan produk-produk yang dibeli akan cuba dihantar dalam masa 30 minit selepas pesanan dibuat.

Menurut Grab, ciri Grab Supermarket (Instant Delivery) ini mula diuji di lokasi-lokasi terpilih, dan anda boleh menyemak jika ia boleh digunakan di kawasan anda dengan mencari ciri Grab Supermarket (Instant Delivery) ini dalam bahagian Mart pada aplikasi Grab.

Grab juga mengatakan bahawa untuk waktu terhad ini, ciri Instant Delivery ini akan diperkenalkan pada jam 9 pagi sehingga 3 petang pada hari yang sama.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd