Carian
Samsung Melancarkan ISOCELL HP1 – Sensor Telefon Pintar 200MP Pertama Dunia
September 2, 2021 Effi Saharudin

Samsung pagi ini melancarkan ISOCELL HP1 yang merupakan sensor telefon pintar sebesar 200MP pertama dunia dan ISOCELL GN5. Sensor ISOCELL HP 1 ini mempunyai saiz pixel 0.64μm yang membolehkan imej yang tajam dan terang diambil dalam pelbagai situasi penggunaan.

Sensor turut menggunakan teknologi pixel-binning baharu ChameleonCell yang menggabungkan pixel 2×2, 4×4 atau sepenuhnya untuk mengambil gambar dalam situasi terang ataupun gelap. Dengan menggabungkan 16 pixel (4×4) menjadi satu pixel, HP1 boleh mengambil gambar pada tetapan 12.5MP dengan setiap pixel sebesar 2.56μm. Hasilnya ialah gambar yang lebih tajam walaupun pada tetapan 12.5MP.

Kemampuan video pula ialah 8K 30FPS. Sensor menggabungkan empat pixel untuk merakam video dalam mod 50MP (8,192 x 6,144 pixel )sebelum resolusi video yang dirakam dikecilkan lagi untuk mendapatkan resolusi 8K (7,680 x 4,320 pixel).

Selain HP1, sensor ISOCELL GN5 juga diumumkan pagi ini dengan resolusi 50MP. Ia adalah sensor 1.0μm pertama yang dilengkapi sistem Dual Pixel Pro. Ini membolehkan pemfokusan yang lebih pantas dan tepay dinikmati pada peranti yang menggunakannya.

Kedua-dua sampel sensor Samsung ISOCELL HP1 dan ISOCELL GN5 kini boleh dipesan oleh pengeluar peranti yang berminat. Seperti yang kita telah lihat sejak dua tahun kebelakangan ini, secara lazimnya sensor bersaiz mega Samsung akan digunakan oleh Xiaomi terlebih dahulu.

Komen