Red ialah jenama yang tidak asing lagi bagi mereka yang benar-benar serius mengenai kualiti rakaman video mereka. Kamera Red secara lazimnya digunakan untuk merakam video untuk filem-filem yang kita sering lihat di panggung wayang. Kini, ia juga boleh dikatakan kamera pilihan untuk YouTuber dengan saluran besar yang mampu memilikinya.

Baru-baru ini, syarikat tersebut telah memperkenalkan model kamera video terbaru mereka yang dinamakan Red V-Raptor ST, yang mana ia adalah sebuah kamera penggambaran filem berbingkai penuh (full frame) dengan kemampuan untuk merakam video pada resolusi 8K 120FPS.

Dari segi spesifikasi, kamera V-Raptor ST ini hadir dengan sensor bingkai penuh bersaiz 35.4-megapixel yang bukan sahaja boleh merakam video pada resolusi 8K dan 120FPS, tetapi juga 2K dengan kadar bingkai 600FPS sekiranya anda mahu merakam video yang memerlukan kadar bingkai yang jauh lebih tinggi. Kesemua video ini dirakam dalam format video REDCODE RAW mereka sendiri.

Dari segi penawaran yang lain, kamera ini juga dimuatkan dengan sebuah paparan di sisi untuk mengubah tetapan kamera, dan dari segi input, ia dimuatkan dengan palam 12G-SDI yang boleh menghantar data video dan audio pada definisi 4K tanpa masalah, USB, pin pogo untuk paparan tambahan dan sokongan untuk kabel audio XDR dan juga 3.5mm.
Red kini menawarkan kamera Red V-Raptor ST ini pada tanda harga $25000 untuk badan kamera ini sahaja. Mereka juga menawarkan pakej Starter Pack yang juga hadir dengan paparan skrin tambahan, storan CFexpress bersaiz 660GB dan sepasang bateri jika anda membeli kamera ini pada harga $29580.
Sumber: GSMArena