Cari @ Amanz

Baru-baru ini vivo telah mengumumkan tarikh pelancaran telefon pintar siri terbaru mereka, iaitu siri vivo X70 yang dijadualkan pada 9 September ini. Malah, vivo Malaysia juga turut mengacah kehadirannya untuk pasaran tempatan tidak lama lagi. Jika sebelum ini, siri vivo X60 telah menarik perhatian ramai menerusi kerjasama mereka dengan pakar optik ZEISS, jadi apa yang kita boleh jangkakan untuk siri terbaru vivo X70 kali ini?

Rekaannya Yang Nipis Dan Elegan

Siri vivo X70 kali ini dikhabarkan akan ditawarkan dengan 3 variasi, iaitu vivo X70, vivo X70 Pro dan juga vivo X70 Pro+. Berdasarkan gambar-gambar acah yang telah dikeluarkan pula, ia mempamerkan bahawa model vivo X70 Pro+ seakan-akan menggunakan kemasan kulit pada bahagian kerangka belakang yang berwarna hitam dan juga jingga. Laman rasmi vivo Malaysia pula mengacah bahawa siri vivo X70 kali ini bakal hadir dengan rekaan yang nipis dan elegan. Malah jika dilihat dengan lebih teliti, berkemungkinan telefon ini akan menggunakan paparan melengkung, dan tekaan kami adalah jenis AMOLED dengan sokongan skrin kadar semula 120Hz.

Spesifikasi Dengan 3 Cip Pemprosesan Berbeza

Ura-ura juga ada mengatakan bahawa telefon pintar ini bakal dijana dengan cip Snapdragon 888, MediaTek Dimensity 1200 dan juga Exynos 1080. Tetapi cip-cip ini masih belum diketahui bakal ditawarkan di model mana. Namun sekiranya ingin diteka, ramalan kami mengatakan bahawa model vivo X70 bakal dilengkapi dengan cip MediaTek Dimensity 1200, vivo X70 Pro pula dengan cip Exynos 1080 dan yang paling tinggi adalah vivo X70 Pro+ dengan cip Snapdragon 888.

Kuad Kamera Dengan Sokongan ZEISS

Seperti yang saya sebutkan di atas tadi, siri vivo X60 yang lalu telah menarik perhatian ramai disebabkan sokongan ZEISS untuk bahagian kameranya. Tidak mustahil juga untuk vivo mengekalkan sokongan ini pada sistem kuad kamera siri X70 mereka yang akan datang bagi untuk mengekalkan kehebatan rakamannya.

Malah jika dirujuk kepada laman rasmi vivo Malaysia, mereka telah mengacah bahawa telefon pintar ini benar-benar hadir dengan optik ZEISS T* Coating dan antara fungsi rakaman terbaru yang disertakan pada model ini adalah Ultra-Sensing Gimbal Camera. Fungsi ini dikatakan boleh menghasilkan rakaman yang tajam dan menyerlah walaupun di persekitaran yang gelap dan tidak stabil.

Kapasiti Bateri Yang Besar

Tidak banyak khabar angin berkenaan kapasiti bateri yang ditawarkan untuk siri vivo X70 ini. Namun, memandangkan kapasiti bateri siri vivo X60 yang lalu adalah sekitar 4200mAh, siri vivo X70 berkemungkinan akan hadir dengan tawaran bateri yang sedikit besar. Jadi ada juga kebarangkalian telefon pintar terbaru vivo kali ini ditawarkan dengan bateri 4400mAh dan ke atas bergantung kepada variasinya. Ura-ura juga mengatakan bahawa siri vivo X70 ini bakal hadir dengan sistem pengecasan 44W.

Julat Harga Yang Hampir Sama Dengan Siri X50 Dan X60 Yang Lalu

Kita boleh mengagak harga pemasaran telefon pintar siri ini dengan melihat bagaimana cara pemasaran untuk siri vivo X50 dan X60 yang lalu. Kebiasaannya vivo memasarkan tiga variasi dibawah siri X untuk pasaran global. Tiga variasi itu adalah versi biasa, Pro, dan juga Pro+. Tetapi jika diteliti semula, vivo Malaysia tidak membawa masuk variasi Pro+ untuk kedua-dua siri X50 dan X60 yang lalu untuk pasaran tempatan. Jadi, ada kemungkinan juga vivo mengekalkan strategi pemasaran ini untuk siri X70 juga, dengan hanya menawarkan vivo X70 dan juga vivo X70 Pro sahaja.

Jika vivo mengekalkan harga lebih kurang sama untuk siri X70 seperti X50 dan X60, harga jualannya mungkin sekitar RM2399-RM2699 untuk X70. Manakala X70 Pro pula adalah sekitar RM3199. Namun harga ini hanya sekadar ramalan sahaja dan ada juga potensi untuk telefon pintar ini dipasarkan pada harga promosi untuk jualan pertamanya. Jadi, bagi anda yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan telefon pintar ini, jangan lupa untuk nantikan pelancarannya secara rasminya pada 9 September ini.

Penafian : Advertorial daripada vivo Malaysia

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd