Ramai inginkan kandungan yang mereka hasilkan tular di media sosial. Ini mungkin dalam bentuk jenaka, gambar atau video yang menarik perhatian orang ramai. Tetapi tidak semua yang tular akan membawa perhatian yang positif. Pasti ada segelintir yang tidak berpuas hati sehingga menyebabkan maki hamun pula yang diterima. Twitter hari ini memperkenalkan ciri Safety Mode yang boleh mengurangkan impak apabila timbul kemarahan akibat ciapan yang dihantar.

Ciri ini diberikan kepada sebilangan kecil pengguna aplikasi Android, iOS dan Twitter versi web hari ini. Menerusinya pemilik akaun boleh mengaktifkan mod keselamatan yang menghalang sebarang ciapan daripada pengguna lain yang mengandungi cacian, makian dan hantaran yang mengandungi perkataan ancaman. Ia akan diaktifkan selama tujuh hari. Akaun yang dikesan menghantar ciapan dalam bentuk makian akan dihalang untuk tempoh sementara. Mereka kemudiannya tidak boleh mengikut akaun, membaca ciapan atau menghantar mesej DM.

Senarai akaun yang dihalang secara sementara ini boleh dilihat oleh pemilik akaun. Dengan ini akaun yang mungkin tidak sengaja dihalang boleh disenarai putihkan. Twitter menggunakan interaksi antara akaun sebelum melakukan halangan ke atas akaun tersebut. Misalnya ciapan dari rakan mungkin makian dalam nada berseloroh dan tidak akan dihalang secara automatik.
Pada waktu ini saringan perkataan makian hanya dalam Bahasa Inggeris dan Twitter akan mengumpul maklum balas sebelum memberikan ciri Safety Mode kepada semua.