ABBA ialah antara kumpulan muzik terhebat dalam sejarah dunia hiburan. Mereka mengubah landskap muzik dan tanpa mereka Taylor Swift, Ace of Base, Katy Perry dan banyak lagi mungkin tidak wujud. Pagi ini ABBA mengumumkan album baharu pertama mereka dalam masa 40 tahun. Kumpulan bergabung semula untuk kali kedua untuk pelancaran album ini dan konsert jelajah Eropah yang menggunakan teknologi avatar 3D dengan bantuan Industrial Light and Magic, syarikat yang menghasilkan kesan khas filem Star Wars.
Kerana ahli kumpulan kini sudah mencecah umur 70an, adalah mustahil untuk mereka mengadakan konsert secara fizikal. Sebaliknya peminat yang menghadiri konsert akan melihat ABBAtars – diri mereka dalam versi avatar 3D realistik dengan wajahkelihatan seperti masih muda belia dari dekad 70an.
Wajah serta tubuh Agnetha Fältskog, Björn Ulvaeus, Benny Andersson, dan Anni-Frid Lyngstad diimbas menggunakan kamera 3D. Model 3D mereka kemudiannya diubah untuk kelihatan seperti mereka masih muda. Kemudian menggunakan teknik merakam pergerakan, kesemua ahli melakukan persembahan secara fizikal. Proses ini mengambil masa beberapa minggu untuk dirakam sebelum pergerakan ini dipindahkan ke avatar 3D yang dihasilkan untuk konsert.
Walaupun mereka tidak melakukan persembahan secara fizikal, suara dan pergerakan adalah diambil sepenuhnya dari ABBA sebenar. Album mereka akan dilancarkan pada 5 November dengan konsert Voyage Tour akan diadakan di London di dalam bangunan khas.