Samsung Galaxy A12 boleh diklasifikasikan sebagai sebuah peranti yang bersaing dalam segmen mampu milik dengan tanda harga di bawah RM1,000. Ia juga mempunyai beberapa spesifikasi yang bersesuaian dengan kehendak kebanyakan pengguna seperti kuad-kamera dengan sensor utama 48MP, skrin serta bateri yang besar dan lain-lain.

DxoMark kini telah mengemas kini laporan dengan berkongsi kutipan markah untuk kamera utama pada Samsung Galaxy A12. Melaluinya, peranti ini menerima sebanyak 90 mata untuk markah keseluruhan. Pecahan daripanya menunjukkan ia menerima sebanyak 96 mata untuk fotografi, 36 mata untuk kebolehan zum dan 80 mata pula untuk kemampuan videonya.
Pujian diberikan kepada pendedahan yang baik dan dinamik luas dalam hasil tangkapan pencahayaan terang. Seterusnya, keseimbangan putih yang stabil dan mod boleh yang semula jadi. Begitu juga dengan rakaman video, di mana hasilnya baik dengan pendedahan yang tepat bersama butiran yang baik untuk kebanyakan situasi pencahayaan cukup.

Kritikan pula diberikan kepada masalah hingar yang ketara untuk hasil gambar dalam pencahayaan rendah. Seterusnya, perincian imej juga kurang memuaskan untuk hasil gambar ultra-lebar. Bukan itu sahaja, sistem fokus juga gagal berfungsi dengan baik pada tangkapan jarak jauh. Untuk video pula, ia memiliki julat dinamik yang terhad.
Bagi yang berminat, Samsung Galaxy A12 kini berharga RM699. Ia boleh didapati dalam beberapa pilihan warna seperti hitam, merah dan biru. Dalam pada itu, Samsung juga dipercayai dalam perancangan untuk pengenalan penggantinya iaitu Samsung Galaxy A13.
Katanya, ia akan dilengkapi sokongan 5G secara terbina dan dijual pada harga yang rendah. Sama-sama kita nantikan perkembangan selanjutnya.
Sumber : DxoMark