Cari @ Amanz

Tahun 2021 adalah tahun yang becampur baur buat Apple. Di tangan kanan mereka mendominasi pasaran tablet, dan jam tangan pintar. Di tangan kiri pula mereka berdepan dengan pelbagai kes mahkamah dan terpaksa menukar peraturan App Store bagi mengelakkan diheret ke mahkamah sekali lagi. Menurut laporan Reuters, Apple akan disiasat di India kerana didakwa melanggar undang-undang antipakat negara tersebut.

App Store

Suruhanjaya Persaingan India (CCI) akan memulakan siasatan ke atas Apple selepas menerima aduan dari NGO yang mendakwa pengambilan keuntungan 30% oleh App Store mengurangkan persaingan dengan meningkatkan kos kepada pembangun dan pelanggan serta pada waktu yang sama menjadi halangan kepada pasaran aplikasi. Potongan yang tinggi ini juga didakwa menyebabkan sebilangan pembangun tidak dapat melancarkan aplikasi dan ini merugikan pengguna.

Aduan yang difailkan ini mempunyai persamaan dengan siasatan yang dikenakan ke atas Apple di Kesatuan Eropah dan juga Jepun. Bagi mengelakkan siasatan antipakat diteruskan di Jepun, Apple akan membenarkan pendaftaran dan pembayaran menerusi laman web untuk aplikasi ‘membaca’ seperti Kindle dan Netflix bermula 2022. Apple juga menubuhkan Dana Bantuan Pembangun Kecil yang membayar ganti rugi kepada pembangun kecil di Amerika Syarikat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd