Selain komputer riba ProArt StudioBook Pro 16 dan ProArt StudioBook 16 yang hadir dengan tombol kawalan ASUS Dial, tetikus ASUS ProArt Mouse MD300 juga diumumkan hari ini. Seperti dua komputer riba profesional tadi, ProArt Mouse MD300 dilengkapi tonmbol ASUS Dial pada bahagian sisi.

Tombol boleh diprogram untuk mengawal aplikasi seperti Adobe Photoshop, Premiere Pro, After Effect dan Lightroom Classic. Secara keseluruhan ProArt Mouse MD300 mempunyai tiga roda kawalan berputar – dua di sisi dan satu di atas. Dengan terdapat banyak roda kawalan, ASUS mengatakan pengkarya kreatif profesional boleh mengawal pelbagai peralatan dalam perisian dengan lebih bebas.

Tetikus menyokong tahap ketepatan sehingga 4200 DPI yang boleh diubah dan penggunaan suis Omron yang diuji untuk tahan digunakan sehingga 50 juta kali klik. Bateri yang digunakan pula boleh bertahan sehingga 150 hari atau serendah 3 jam dalam penggunaan yang lebih berat. Pengecasan semula dilakukan menerusi sambungan USB-C di bahagian hadapan.
Akhir sekali ASUS ProArt Mouse MD300 menyokong tambatan menggunakan bluetooth dan juga frekuensi radio 2.4 GHz. Harga jualan tetikus ini masih belum diumumkan pada waktu ini.