Carian
Samsung Galaxy S21 FE Mungkin Tidak Akan Hadir Dengan Slot Mikro-SD, Tiada Pengecas Dalam Kotak
September 3, 2021 Aman

Samsung Galaxy S21 FE merupakan salah satu peranti yang dinantikan ramai, dan dijangka diperkenalkan sekitar September atau Oktober ini. Peranti ini membawakan penjenamaan “Fan Edition”, tetapi mengikut salah satu info yang hadir ke arena web hari ini, Samsung dilihat mungkin membuang salah satu ciri yang diminati ramai, iaitu sokongan slot mikro-SD.

Seperti ramai sedia maklum, pengguna menggunakan slot mikro-SD dalam meningkatkan kapasiti ruangan storan peranti. Apatah lagi dengan rakaman video dan gambar yang memakan kapasiti storan besar pada hari ini.

Namun, penggunaannnya juga membawa kepada beberapa kesan, termasuk salah satunya adalah kadar pembacaan dan penulisan yang mungkin sedikit perlahan berbanding penggunaan storan terbina seperti UFS 3.1.

Selain daripada itu, melalui manual yang hadir melalui SamMobile, ia turut dilihat Samsung tidak akan menyertakan pengecas untuk telefon secara terbina pada kotak – dan memerlukan pengguna membelinya secara berasingan.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi sama ada perkara ini akan diimplementasi untuk penawaran Galaxy S21 FE di semua negara, atau beberapa negara masih akan ditawarkan dengan sokongan slot mikro-SD dan pengecas.

Sama-sama kita nantikan lanjut berkenaan penawaran Galaxy S21 FE ini tidak lama lagi.

Komen