Carian
ASUS ProArt Station PD5 Dilengkapi Lampu Khas Menunjukkan Ia Sedang Memproses Kerja
September 4, 2021 Effi Saharudin

Di pejabat kami sebelum pandemik ada sebuah komputer desktop yang digunakan khusus untuk memproses video dan kerja grafik yang lain. Proses ini selalunya mengambil masa yang lama yang mengakibatkan ia tidak boleh digunakan selain untuk memproses tugas yang diberikan. Bagi mengelakkan berlaku gangguan, sebuah kertas ditampal pada skrin dengan notis “jangan tutup mesin ini”. Ini ialah teknik mudah untuk mengelakkan masalah yang besar.

Minggu ini ASUS ProArt Station PD5 telah dilancarkan sebagai desktop untuk pekerja kreatif profesional. Antara ciri menarik yang disertakan pada PD5 ialah sistem lampu khas LED Lumiwiz yang menyala apabila ia sedang memproses kerja. Lampu juga akan menyala apabila ia mengesan suhu yang melampau pada GPU dan CPU. Sebagai satu lagi langkah keselamatan, terdapat butang fizikal yang menghalang butang kuasa ditekan secara tidak sengaja.

Komputer ini dilengkapi CPU Intel Core-i9-11900, pilihan GPU NVIDIA GeForce RTX A200/RTX 3070, memori sehingga 128GB, storan SSD 2TB dan storan HDD 4TB. Dengan spesifikasi yang tinggi ini, komputer boleh menjalankan pelbagai perisian yang memerlukan kuasa memproses yang cukup tinggi. Kesemua PD5 melepasi piawai untuk menjalankan perisian Autodesk dan Adobe. Harga untuk desktop ini masih belum diumumkan kerana hanya akan dijual pada suku keempat 2021.

Komen