Cari @ Amanz

Pada hari ini, iPhone boleh dikatakan antara yang paling lama menerima kemaskini perisian, sementara sejumlah pengeluar Android telah menyatakan sokongan penawaran kemaskini selama 3 tahun lamanya.

Namun, Jerman dilihat inginkan sokongan sekuriti untuk tempoh lebih lama bagi telefon pintar.

Jerman kini dilaporkan sedang melobi EU untuk memastikan pengeluar telefon menawarkan sokongan kemaskini sekuriti selama 7 tahun, termasuk sokongan dari segi alat ganti dan sebagainya.

Permohonan pihak Jerman ini adalah dua tahun lebih lama berbanding cadangan awal pihak EU. Pihak EU kini pada peringkat cadangan dalam implementasi memastikan pengeluar menawarkan sokongan kemaskini sekuriti untuk tempoh lama, dan ia mungkin dikuat-kuasakan pada 2023 selepas melalui pelbagai fasa.

Walaupun pada hari ini, peranti mudah-alih dikeluarkan dengan lebih pantas dan kerap, namun masih terdapat sejumlah besar pengguna yang menggantikan peranti selepas suatu tempoh masa yang lama. Malah, boleh dikatakan masih terdapat sejumlah besar peranti Android yang masih menjalankan sistem operasi beberapa generasi kebelakang pada hari ini.

Sokongan sekuriti yang lama ini semestinya diminati ramai, apatah lagi dengan era internet masa kini yang membawa kepada pelbagai kerentanan dan bahaya sekuriti siber.

Sama-sama kita nantikan perkembangan cadangan pihak EU ini dan juga cadagan pihak Jerman untuk tujuan berkenaan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd