Disebabkan Covid-19 ramai yang terjejas seperti kehilangan pekerjaan atau punca pendapatan. Demi membantu antara satu sama lain, rakyat bekerjasama dan mempopularkan kempen #BenderaPutih. Mereka yang kibarkan bendera di rumah bermakna, bantuan diperlukan tidak kiralah dalam bentuk kewangan, makanan, perubatan, barangan keperluan dan lain-lain lagi.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah KitaJaga, sumber bantuan dalam satu projek setempat seperti Projek Bendera Putih atau White Flag Project untuk data-data bank makanan dan bantuan lain. Beberapa pengeluar peranti juga turut menawarkan bantuan yang lebih kurang sama.

Terkini, terdapat satu lagi aplikasi dengan tujuan yang lebih kurang sama – iaitu Bantu App. Ia dibangunkan oleh sembilan orang pembangun tempatan dan aplikasi ini boleh didapati di App Store atau Play Store untuk pengguna iOS dan Android.
Bantu App menggunakan antaramuka yang minimalis dan amat mudah digunakan. Selesai muat turun, pendaftaran wajib dilakukan dan selepas pengesahan – antaramuka berasaskan peta boleh dilihat. Jika ada ikon katil terpapar ia memberi petanda ada individu memerlukan bantuan penginapan, ikon sos pula untuk bantuan kaunseling, ikon $ untuk kewangan, lobak untuk makanan dan ikon hospital untuk perubatan.

Tekan ikon-ikon ini jika anda ingin membantu mereka yang memerlukan. Tetapi jika anda yang memermulakan bantuan, tekan sahaja butang Saya perlukan bantuan dan isikan butiran berserta lokasi dan koordinat untuk memohon. Aplikasi ini menyokong bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan juga Tamil.
Sama-sama kita jaga kita dan ambil berat antara satu sama lain.