Cari @ Amanz

Rekaan Realme Pad Diperlihatkan Secara Rasmi – iPad Air Versi Android?

Link Copied!

Seperti yang kita semua tahu, jenama-jenama di bawah BBK Electronics akan melancarkan tablet pertama mereka tidak lama lagi. Antaranya adalah Oppo, Realme dan juga Vivo. Realme sudah mengacah tablet pertama mereka, iaitu Realme Pad sejak beberapa bulan lalu dan akhirnya rekaan rasmi tablet ini diperlihatkan.

Realme Pad akan dilancarkan pada 9 September tidak lama lagi. Walaupun spesifikasi penuh tablet ini masih dirahsiakan, rekaan penuh dan spesifikasi paparan telah dikongsi oleh Flipkart di India.

Rekaan belakang tablet ini dilihat ringkas dengan satu garisan dari bahagian kamera terus ke bawah. Kemudian ada logo Realme di bahagian salah satu bucu dan keseluruhan tablet ini dilihat menggunakan rekaan rata di setiap sisi mirip iPad Air 2020.

Modul kamera walau bagaimanapun dilihat mempunyai saiz yang lebih besar berbanding iPad Air. Pada bahagian sisi terdapat butang aras suara dan di atas ada butang kuasa. Masih tidak pasti jika butang kuasa ini ada pengimbas cap jari terbina ataupun tidak.

Di hadapan, Realme menggunakan skrin bersaiz 10.4-inci dengan resolusi WUXGA+ 2000×1200 dengan nisbah skrin-ke-badan 82.5%. Rekaan bezel sekata turut jelas kelihatan yang kini menjadi trend untuk kebanyakan tablet. Panel yang digunakan masih tidak pasti LCD ataupun OLED. Ketebalan tablet ini adalah 6.9mm, sedikit lebih tebal daripada iPad Air yang hanya 6.1mm. Tetapi Realme dilihat membandingkan dengan iPad 10.2-inci.

Cip pemprosesan, kuasa pengecasan dan lain-lain spesifikasi masih menjadi misteri. Disebabkan ini adalah jenama Realme, sistem operasinya sudah tentu adalah Realme UI. Cuma iterasi untuk tablet masih belum didedahkan lagi, adakah satu rekaan serba baharu ataupun masih lagi berasaskan Realme UI sedia ada.

Sama-sama kita nantikan.


Komen ()