Bandaraya Texas Mengumpan Samsung Dengan Pelepasan Cukai Tanah Untuk Membangunkan Kilang Pembuatan Cip Bernilai $17 Bilion

Diterbitkan pada Sep 6, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Oleh kerana masalah bekalan cip semikonduktor yang sedang berlarutan secara global, syarikat-syarikat seperti Intel, TSMC dan Samsung semuanya sedang cuba untuk melebarkan sayap kilang pembuatannya, dan dengan China masih lagi menghadapi masalah sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat, mereka dilihat mencari lokasi-lokasi lain yang membolehkan mereka mengatasi masalah tersebut.

Samsung dilaporkan baru-baru ini sedang melalui proses penilaian hartanah di dua bandar di Texas, iaitu Austin dan juga Taylor, yang mana mereka mahu membangunkan sebuah kilang bernilai $17 bilion yang dikatakan akan menjana 1800 peluang pekerjaan bertaraf tinggi dan merancakkan ekonomi bandar-bandar ini.

Untuk memastikan Samsung memilih mereka, bandaraya Taylor dilaporkan bersedia untuk menawarkan pelepasan cukai tanah supaya syarikat teknologi Korea Selatan tersebut membina kilang pembuatan cip mereka di bandar tersebut.

Satu lagi kelebihan penawaran bandar Taylor berbanding dengan Austin, walaupun Samsung sudahpun memiliki sejumlah tanah yang besar di sana, saiz tanah yang boleh dibeli di Taylor dengan harga yang sama adalah jauh lebih besar (4.81 km persegi) berbanding dengan Austin (2.42 km persegi).

Setakat ini Samsung masih lagi menilai pasaran hartanah di Texas, tetapi selain daripada dua bandar ini, Samsung juga dikatakan sedang menimbang tawaran membangunkan kilang ini di New York dan Arizona.

Sumber: Reuters

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami