Sepatutnya ketika bekerja dari rumah ini, saya menjadi semakin rajin untuk membersihkan bilik. Tetapi bila sudah lama berkurung, perasaan malas itu semakin membuak-buak. Nasib baik ada beberapa robot vakum yang sudi membantu saya dan mendengar arahan untuk mengemop dan memvakum membersihkan lantai bilik saya.
Saya telah cuba Deebot, Xiaomi dan juga Roborock. Untuk ulasan ini, ia adakah berkenaan Roborock S7 – iaitu antara jenama yang sudah lama popular di Amerika Syarikat. Walaupun namanya popular di sana, tahukah anda jenama ini ada sedikit kaitan dengan Xiaomi? Tetapi, pada pengalaman penggunaan langsung tidak sama dengan menggunakan robot vakum daripada Xiaomi. Roborock S7 adalah antara jenama premium dan merupakan robot mercu dalam arena robot vakum.
Spesifikasi Dan Rekaan
Roborock S7 ini seperti kebanyakan robot vakum lain, menggunakan LiDAR sebagai sensor utama untuk mengimbas kawasan sekeliling mencari arah dan mengelak daripada halangan. Sensor ini dinamakan sebagai PreciSense yang menggabungkan LiDAR bersama-sama dengan sensor pemecut, odometer, infra merah dan kompas serta disusun menggunakan rekaan tersendiri untuk lebih bijak mengenalpasti bilik, ruang-ruang dalam rumah atau lain-lain kawasan.
Ia turut dikuasakan dengan algoritma tersendiri bagi memastikan prestasi sensor ini antara yang terbaik dalam kelasnya. Tangga, halangan tinggi, perabot dan banyak lagi boleh dielak agar tidak terlanggar atau terjatuh. Robot ini turut mempunyai sensor ultrasonik untuk mengesan permaidani agar ketika mengemop air tidak akan terkeluar dan menjadikannya basah atau berbau kepam.
Bercakap mengenai permaidani, aksesori tambahan untuk mengemop yang disediakan iaitu sejenis panel plastik dan mempunyai teknologi VibraRise yang bergetar untuk memastikan lantai lebih bersih dan kotoran degil mudah hilang. Lantai dan permukaan lain juga akan sentiasa bersih tanpa ada kesan kotoran kerana menggunakan teknologi Scratchsafe iaitu bahan getah pada roda dan berus. Berus juga bergerak pada pelbagai arah untuk menjamin kebersihan yang lebih baik.
Paling penting adalah kuasa sedutan yang mencapai sehingga 2500 Pa yang cukup kuat seakan vakum biasa. Kuasa sedutan ini menggunakan teknologi HyperForce. Tangki pada vakum ini pula berkapasiti 470ml untuk habuk dan 300ml untuk air mop. Bateri pula adalah 5200mAh yang menjanjikan masa beroperasi sehingga 3 jam dalam satu pengecsan penuh iaitu sekitar 200 meter persegi kawasan. Seperti kebanyakan robot vakum lain, bateri habis ia boleh bergerak sendiri kembali ke dermaga pengecas.
Penapis dalam tangki juga adalah jenis boleh basuh dan turut mempunyai sistem pemberitahuan status-status kerja dalam pelbagai bahasa termasuk dalam bahasa Melayu.
Ramai sangkakan definisi robot itu adalah berbentuk manusia, seperti yang banyak diperlihatkan dalam filem-filem, acara teknologi dengan prototaip mereka atau juga seperti yang Tesla umumkan. Tetapi rekabentuk manusia ini ada hadnya dan tidak efisien. Bentuk robot untuk tujuan kerja pembersihan seperti kebanyakan robot vakum sekarang adalah bentuk yang terbaik.
Rekaan robot vakum ini juga adalah seperti kebanyakan robot vakum lain. iaitu satu bonggol sensor di atas, ada panel di atas yang boleh dibuka untuk mengakses tangki dan butang tetapan semula, ada juga butang-butang tambahan untuk kunci daripada kanak-kanak mengakses dan juga berus tambahan di sisi. Roda pada robot ini juga bersaiz gergasi berbanding kebanyakan robot lain yang pernah saya uji.
Pengalaman Penggunaan
Robot ini cukup pintar dan bijak, tetapi degil seperti kanak-kanak. Ia akan melakukan dua pusingan untuk pembersihan yang lebih baik dan perkara ini turut disahkan oleh wakil Roborock Malaysia. Ini kerana, algoritma yang tersedia pada robot ini perlu mengenalpasti kawasan, mengenalpasti perbezaan antara lantai dan permaidani serta melihat halangan. Ia seakan budak baru belajar.
Untuk kawasan rumah saya, ia menjadi semakin bijak dan pintar selepas beberapa hari penggunaan dan lantai semakin bersih. Syukur sistem mopnya tidak perlu mengambil masa yang lama, jika tidak habis permaidani yang ada di rumah.
Dengan kuasa sedutan seakan vakum biasa, iaitu 2500 Pa – robot ini dilihat mampu melakukan kerja pembersihan lebih baik daripada Mi Robot yang saya uji sebelum ini. Tetapi jika dibandingkan dengan Deebot yang pernah saya uji, pertama kali digunakan sungguh bersih. Ini adalah kekurangan jika sebuah robot cuba berlagak pandai (mungkin).
Pengasingan dua tangki untuk habuk dan air mop pada saya adalah yang terbaik. Ini kerana kapasiti akan lebih besar dan kerja pembersihan adalah lebih efisien. Walaupun tangki air kecil, ia boleh membersihkan lantai dua pusingan selama dua kali satu hari jika diisi sehingga penuh.
Kerja mengemop pula antara yang terbaik pernah saya temui pada sesebuah robot vakum, kerana lebih bersih dengan sistem getaran yang memimik manusia menggosok. Gosok jangan tak gosok, gosok sampai berkilat, gosok sampai tertanggal semua karat. Ini adalah antara kenapa saya gemari Roborock S7 walaupun ada kekurangan lain.
Membersihkan habuk pula bagus, cuma bahagian-bahagian sempit seperti bucu-bucu tidak begitu bersih jika dibandingkan dengan Xiaomi atau Deebot, kerana berus tambahannya hanya ada satu sahaja berbanding kebanyakan model lain yang ada dua.
Habuk-habuk halus, serangga mati, serdak keropok, sawang yang terjatuh daripada lantai – semuanya boleh dibersihkan. Cuma seperti dikatakan tadi, ia memerlukan dua pusingan – jadi perlu tetapkan dalam aplikasi untuk memastikan ia sudah diaktifkan.
Mengelak halangan juga agak baik. Ternyata ia mempunyai sensor yang terbaik di dalam kelasnya. Kerusi, meja, sofa, bawah katil, bawah almari dan perabot lain – Roborock S7 ini pandai mengelak. Satu sahaja yang menjadikan robot ini sedikit dungu, kawasan yang sedikit lebih rendah seperti di antara ruang utama dan ke tandas atau dapur – ia akan langgar sahaja sehingga terjatuh dan kadangkala tergolek. Agak lucu kadangkala melihat gelagat robot ini.
Nasib baik perkara ini boleh diselesaikan dengan mencipta dinding maya dalam aplikasi sebagai langkah untuk menghalangnya dari menerjah ke kawasan yang tidak sepatutnya.
Bunyi robot ini juga tidak begitu bising pada tetapan biasa. Tetapi apabila mod turbo digunakan ataupun mod medium diaktifkan, saya terpaksa menjeda robot ini untuk sementara waktu kerana bunyinya yang bising dan menjengkelkan. Audio yang dikeluarkan juga ketika memberitahu bateri lemah dan lain-lain juga agak kuat, tetapi audio ini boleh dikawal aras suaranya.
Setakat ini, Roborock S7 adalah robot vakum paling berat saya pernah gunakan – mencapai 4.7kg. Mi Robot Vacuum-Mop P hanya 3.2kg dan Deebot Ozmo 900 pula hanya 3.5kg. Walaupun begitu, pada hemat saya ia masih boleh diklasifikasikan sebagai ringan untuk sebuah robot. Jadi jika tersangkut, masih mudah untuk diangkat untuk ia kembali melakukan kerja. Binaan robot ini sedikit lebih kukuh walaupun diperbuat daripada plastik. Warna yang dijual di Malaysia hanyalah putih yang tidak sampai seminggu penggunaan, tubuh mempunyai kesan kotoran dan habuk di celah-celah panel dan ada juga kesan kotoran yang saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya.
Bateri
Ketahanan bateri adalah antara yang terbaik dan paling tahan lama setakat ini. 3 jam maksima ketahanan dan boleh membersihkan kawasan sehingga 200 meter persegi. Tiga sehingga empat ruangan berbeza untuk dua pusingan beroperasi sebanyak dua kali sehari tidak menjadi masalah.
Masa pengecasan agak lama, hampir dua jam untuk penuh untuk ia kembali beroperasi mengikut jadual yang telah ditetapkan. Ini juga menjadi antara faktor kenapa saya lebih menggemari Roborock S7 ini.
Akan tetapi, mengikut cara penggunaan dan tetapan pengguna – bateri juga boleh cepat habis jika mod turbo dan mop kerap digunakan. Penggunaan saya adalah, mengemop seminggu sekali dan mod turbo hanya akan diaktifkan secara manual jika saya ada nampak kotoran yang lebih banyak berbanding biasa. Jika kerap menggunakan mop dan mod turbo bateri akan lebih cepat habis. Robot ini juga cukup bijak dan pantas kembali ke dermaga pengecas jika bateri sudah mula lemah.
Bonus
Keunikan Roborock S7 ini juga adalah ia menyokong aksesori seperti dermaga Auto-Empty Dock, yang boleh mengosongkan tangki secara automatik. Apabila ia kembali ke dermaga ini, ia akan mengecas sambil menyedut habuk-habuk dalam tangki. Terdapat dua tangki, satu tangki mudah dicuci dan satu lagi tangki dengan beg yang akan tertutup dengan sendiri. Tetapi harga jualannya adalah sama dengan harga robot vakum, iaitu RM2399.
Ini adalah perkara yang jarang ditawarkan oleh robot vakum lain. Kemudian, Roborock di Malaysia juga ada menjual alat gantian seperti berus sisi, penapis Hepa dan kain mop pada harga RM299.
Aplikasi
Nama pun robot, jadi tugasan membersih kesemuanya adalah automatik. Walaupun begitu, ia masih memerlukan aplikasi untuk tetapan dan kawalan tambahan. Aplikasi Roborock ini tersedia di Play Store dan App Store dan ia mempunyai antaramuka yang mesra pengguna, ringkas dan amat mudah untuk diterokai.
Melalui aplikasi inilah saya tetapkan jadual, mencipta dinding maya, mengawal aras suara, menetapkan bilik-bilik dan ruangan lain. Saya hanya mengambil masa yang singkat untuk memahami penggunaan aplikasi ini dan sungguh berbeza dengan Deebot yang banyak tidak tersusun atau Xiaomi dengan aplikasi yang sedikit serabut.
Robot ini juga boleh dikawal dengan Google Assistant, Alexa atau Siri untuk kawalan tambahan yang lebih baik.
Kesimpulan
Tanda harga RM2,399 (jaminan satu tahun) dan RM2,699 (jaminan dua tahun) pada robot vakum ini sebenarnya tidak mahal mana jika kita lihat ciri dan fungsi yang ditawarkan. Malah ada yang tertanya, mana lebih bagus robot vakum atau beli sahaja vakum nirwayar seperti Dyson yang juga boleh didapati pada harga lebih kurang sama. Robot seperti ini adalah untuk yang benar-benar malas atau yang terlampau sibuk – kerana ia melakukan kerja pembersihan secara automatik. Vakum nirwayar hanyalah vakum yang anda tidak perlu membawa ke hulu dan ke hilir bersama kabel.
Penggunaan yang berbeza untuk kedua-dua produk ini. Pada hemat saya Deebot mampu melakukan kerja pembersihan dengan lebih baik. Xiaomi pula seperti biasa menawarkan banyak ciri dan fungsi hebat pada harga lebih mampu milik. Roborock ini adalah antara yang terbaik secara keseluruhan dan akan memberikan pengalaman penggunaan lebih menarik.
Roborock S7 ini saya rasakan satu permulaan ke arah robot yang kelak boleh menggantikan manusia dalam kerja pembersihan asas seperti menyapu, mengemop dan cuci karpet. Harga lebih RM2000 tidak dinafikan bukan untuk semua orang, tetapi daripada tinggal di dalam bilik atau rumah yang kotor kerana terlampau sibuk atau malas – Roborock ini pelengkap kehidupan untuk seseorang fokus pada kerja lain sambil berada di dalam kawasan yang cukup bersih.
Pro
- Boleh mop dan vakum serentak.
- Tangki habuk yang cukup besar.
- Ketahanan bateri yang agak hebat.
- Aplikasi yang mudah digunakan serta menyokong bahasa Melayu.
Kontra
- Perlu lakukan dua kali pusingan untuk lantai yang lebih bersih.
- Warna putih yang mudah kotor.