ASUS ROG Zephyrus G14 Edisi Alan Walker Kini Ditawarkan Di Pasaran Tempatan Pada Harga RM7999

Diterbitkan pada Sep 7, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada bulan lepas, ASUS telah dilihat melancarkan sebuah komputer ROG Zephyrus G14 dengan kerjasama bersama-sama DJ terkemuka Alan Walker. Hari ini, ASUS Malaysia telah mengesahkan bahawa komputer riba edisi istimewa tersebut kini ditawarkan di pasaran tempatan.

Terkini, ASUS baru sahaja mengumumkan kehadiran komputer riba ROG Zephyrus G14 Edisi Khas Alan Walker, iaitu sebuah kerjasama diantara ASUS dan juga DJ antarabangsa Alan Walker untuk membangunkan sebuah komputer riba yang boleh dikatakan cukup unik sekali.

Bermula dengan paparan komputer riba ini, ia hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 14 inci dengan resolusi 2560×1440 dan kadar segar semula 120Hz. Bagi mereka yang mementingkan kejituan warna, paparan ini juga hadir melepasi piawaian warna Pantone dan boleh memperlihatkan gamut warna DCI-P3 sepenuhnya.

Dari segi spesifikasi dalaman, komputer riba ini dikuasakan oleh CPU AMD Ryzen 9 5900HS, memori DDR4 sebanyak 16GB, storan dalaman SSD NVMe PCIe sebesar 1TB dan dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050Ti.

Dari segi palam output pula, Zephyrus G14 Edisi Alan Walker ini dimuatkan dengan satu oalam USB 3.2 Gen2 dengan sokongan DisplayPort 1.4, satu palam USB 3.2 Type-C, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.0b dan satu palam audio 3.5mm.

Komputer riba ini hadir dengan rekaan warna hitam, yang mana panel LED AniMe Matrix dan plat nama Alan Walker hadir dengan rekaan warna Spectral Blue yang memberi komputer riba ini elemen yang lebih anggun apabila dilihat dari belakang.

Satu gimik baru yang diperkenalkan dengan kerjasama ini hadir melalui kotak dimana ROG Zephyrus G14 ini disimpan. Dari sekilas pandang ia mungkin dilihat sebagai sebuah kotak biasa yang direka khas untuk komputer riba ini. Tetapi ia juga boleh disambungkan ke komputer riba ini melalui kabel USB Type-C yang boleh dijadikan sebuah alat sampel audio melalui permukaan akrilik yang boleh mendengarkan 18 sampel audio yang direka oleh Alan Walker sendiri.

Setiap pembelian komputer riba ROG Zephyrus G14 versi Alan Walker ini juga akan hadir dengan topi dan stokin dengan rekaan ROG dan Alan Walker yang disulam. Ia juga akan hadir dengan sebuah beg galas dengan rekaan istimewa ROG dan Alan Walker bernilai RM399.

Menurut ASUS Malaysia, komputer riba ASUS ROG Zephyrus G14 ini kini ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM7999. Anda boleh mula membeli komputer riba ini di pengedar ASUS Malaysia terpilih ataupun di Shopee dan Lazada.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami