Redmi adalah jenama lebih mampu milik berbanding Xiaomi dan Poco. Walaupun ada peranti mercu, kelas pertengahan premium dalam jenama ini – kelas asas mereka masih antara yang dipandang ramai.
Biasanya yang popular di pasaran global adalah Redmi Note, iaitu peranti kelas pertengahan dan Redmi pula terkenal dengan peranti kelas asas. Terkini Redmi 10 telah diperkenalkan dengan kamera 50MP, cip MediaTek Helio G88, tetapi memori 4GB RAM.
Adakah peranti MIUI dengan 4GB RAM sudah mencukupi? Paling penting, jika ingin gunakan untuk PdPR adakah cukup?
Spesifikasi Dan Rekaan
Redmi 10 | |
---|---|
Skrin | 6.5″ LCD, 2400 x 1080, FHD+, 90Hz Adaptif, Gorilla Glass 3 |
Pemproses | MediaTek Helio G88 (12nm) |
Cip | 2 x 2.0 GHz Cortex-A75 6 x 1.8 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G52 MC2 |
RAM | 4/6 GB RAM LPDDR4X |
Muatan Dalaman | 64/128 GB eMMC Kad mikroSD 512GB |
Kamera Utama | 50+8+2+2 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4 |
Kamera Swafoto | 8 Megapixel f/2.0 |
Bateri | 5000mAh Pengecasan berwayar 18W Pengecas berbalik berwayar 9W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 4G Slot hibrid |
NFC | Tiada |
Audio | Ada port 3.5mm Pembesar suara stereo |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari di sisi |
Harga Jualan | RM649/RM749 |
Tidak dinafikan yang peranti Redmi kelas asas kali ini adalah lebih mahal daripada model lalu yang biasanya model asas dijual pada harga tidak mencecah RM600 pun. Tetapi dengan penawaran kamera yang lebih hebat, skrin yang lebih pantas, MIUI yang terkini, serta satu-satunya peranti yang dijana dengan MediaTek Helio G88 di Malaysia – ia adalah satu penawaran yang menarik.

Skrin 6.5-inci FHD+ ditawarkan berbanding pesaing dengan skrin HD+ sahaja, kemudian kadar segar semula adalah 90Hz jenis adaptif untuk penjimatan bateri yang boleh menjadi serendah kadar 45Hz. Pilihan memori adalah sehingga 6GB RAM tetapi unit kami ini 4GB RAM dan storan dalaman pula adalah 64GB atau 128GB, sayang sekali ia adalah eMMC 5.1 yang agak perlahan.
Kamera adalah fokus utama dengan sensor besar 50MP tadi ditemani dengan sensor 8MP sudut ultra lebar dan dua lagi sensor 2MP untuk makro dan kedalaman. Sedangkan pesaing terhad dengan kamera yang lebih lemah. Kamera swafoto walau bagaimanapun hanyalah 8MP sahaja.

Rekaan dan binaan peranti adalah mirip siri-siri Redmi Note 10 yang lain. Cuma jelas ia adalah plastik dan tidak begitu premium. Tetapi di dalam tangan ia selesa sahaja. Walaupun bateri 5000mAh, peranti tidak berat dan masih ringan di tangan sambil cuba menawarkan rupa bentuk yang premium. Cuma, bonggol kamera yang tebal ini agak menjengkelkan. Butang kuasa yang ada di sisi adalah kegemaran kami kerana turut mempunyai pengimbas cap jari.
Penggunaan Dan Perisian
Skrin peranti ini agak baik, kerana beresolusi FHD. Dari segi warna ia biasa sahaja dan jika sekadar menggunakannya untuk di dalam rumah, ia mempunyai warna yang baik dan kecerahan yang boleh diterima. Apabila membeli peranti seperti ini, harapan untuk skrin tidak boleh diletak pada tahap yang tinggi dan harus harapkan akan ada kekurangan berbanding peranti yang lebih mahal.

Menonton YouTube atau Netflix agak baik, dengan YouTube menyokong pada kadar 1440p60fps pada sesetengah video dan Netflix pula menyokong HD tanpa sebarang masalah. Cuma, warna akan sedikit pudar jika menonton video yang sepatutnya ada format HDR. Kadar segar semula 90Hz pula hanya berfungsi pada sesetengah masa sahaja. Kami jangkakan yang ia adalah kerana memori 4GB RAM yang tidak mencukupi serta masalah pada MIUI yang tidak cukup efisien dengan memori rendah.

Bercakap mengenai MIUI, peranti menjalankan MIUI 12.5 dengan kemas kini tampalan sekuriti Ogos melalui versi 12.5.4 ketika ulasan ini ditulis. Ia adalah antara yang terbaik, tetapi dengan versi global yang penuh dengan aplikasi gendut, iklan masih ada, pengalaman penggunaan itu kurang menarik. Sudahlah memori rendah, iklan dan aplikasi ini pula menjadikan peranti lebih perlahan.

Walaupun begitu, penggunaan untuk produktiviti ringan seperti Google Meet, Zoom, Microsoft Teams atau juga yang paling ringan melalui Google Duo – peranti ini tidak akan memberikan sebarang masalah besar. Ia boleh berjalan dengan baik. Cuma MIUI 12.5.6 ini masih ada sedikit masalah notifikasi, pengurusan memori yang tidak adil di antara MIUI versi global dan China serta tidak begitu memuaskan jika ingin gunakan peranti ini untuk bersahaja.

Apa-apa pun, kemas kini ini yang diterima tadi adalah lebih terkini daripada Xiaomi 11T Pro yang masih lagi MIUI 12.5.4. Jelas di sini, kemas kini yang pantas adalah fokus penting Xiaomi tidak kira peranti berada dalam kelas apa.
Permua Dan Penanda Aras
Cip MediaTek G88 sebenarnya sama sahaja dengan G80 atau G85. Ia lebih kurang sama dengan sedikit kuasa tambahan pada GPU. Ujian yang kami lakukan mencatatkan skor 209,778 pada AnTuTu dan skor 365/1112 pada Geekbench 5. AnTuTu adalah versi Lite kerana itu sahaja yang peranti larat untuk jalankan.

Bermain Asphalt 9 adalah satu-satunya permua yang boleh disarankan. Kerana hanya pada menu sahaja ada sedikit lengah masa dan sesi bermain akan memberikan pengalaman yang boleh diterima. Cubaan menjalankan permua yang lebih berat akan menjadikan peranti memanas dan lengah masa yang amat teruk. Jadi, jika anda berdegil dan masih ingin main – main pada tetapan lebih rendah yang disarankan. Variasi 6GB RAM mungkin tidak akan ada masalah ini.
Audio
Walaupun Redmi 10 adalah peranti kelas asas. Ia masih mempunyai pembesar suara stereo yang cukup seimbang berbanding Realme Narzo 30A atau Infinix Hot 10S dengan pembesar suara mono. Kualiti audio bukanlah yang terbaik, dengan tahap 100% mula ada kesan yang tidak enak didengar dan hanya sekitar 60-70 peratus sahaja tetapan yang terbaik. Itupun agak perlahan.

Tetapi penawaran audio seimbang adalah mencukupi untuk mendengar rakan, guru, majikan bercakap ketika sesi telesidang atau sekadar berseorang diri menonton video dan mendengar muzik. Jika pembesar suara ini tidak memuaskan, beli sahaja aksesori audio seperti TWS untuk pengalaman pendengaran yang lebih mengasyikkan.
Telefoni Dan GPS
Ya, seperti yang anda serta kami jangkakan – kebanyakan peranti MIUI pada harga sebegini akan ada masalah serius dari segi rangkaian. Ia tidak begitu mesra, walaupun kawasan kami 4G stabil. Ia sedikit perlahan dan kadangkala seakan tidak bersambung. Kadangkala boleh dimaafkan kerana ada WiFi yang pantas, tetapi WiFi pun kadangkala kerap berjaya disambung dengan tanpa akses kepada Internet. Tidak pasti isu pada modem atau MIUI.
Panggilan telefon nasib baik cukup baik dan memadai bersama-sama dengan GPS yang boleh diterima agak pantas kunci lokasi dan tiada masalah dalam arahan selok-belok pada Google Maps. Untuk jangkaan panjang sukar untuk kami tentukan sama ada ia akan bermasalah ataupun tidak.
Kamera
Kamera 50MP adalah sensor yang agak besar untuk sebuah peranti kelas permulaan. Cip pemprosesan ini walaupun menyokong penggunaan sensor ini, tetapi ia tidak cukup berkuasa. Lebih-lebih lagi unit ulasan kami yang hanya ada 4GB RAM. Tetapi untuk memuaskan hati pengguna agar mempunyai kualiti terbaik, pasca-proses perlahan serta prestasi kamera yang tidak begitu lancar haruslah dihadapi dengan penuh sabar. Sensor 8MP untuk sudut ultra lebar juga biasa sahaja dan yang paling tidak boleh diterima adalah dua sensor 2MP yang entah kenapa masih wujud.

Ujian pertama yang kami lakukan adalah menjadikan peranti ini sebagai kamera web melalui perisian seperti XSplit atau Camo Studio. Kerana ini adalah tujuan sebenar peranti ini, digunakan untuk PdPR bersama komputer riba Huawei yang mempunyai kamera web yang sangat teruk dan tidak cantik. Mari kita lihat hasil jika menggunakan kamera 50MP dalam sesi telesidang. Hasilnya agak baik dan cukup cerah, malah butiran juga dapat dipelihara dengan baik.
Ini adalah kerana, menggunakan perisian pihak ketiga ia melangkau pasca-proses daripada MIUI serta tidak menggunakan mana-mana kecerdasan buatan daripada aplikasi kamera Xiaomi.

Mod malam pula untuk peranti dalam kelas ini, kami akan berikan kepada Vivo kerana masih boleh menawarkan kualiti yang lebih baik. Tetapi jika sekadar ingin memfokus pada subjek diwaktu malam, asal ada sedikit cahaya sudah memadai. Jika tidak, hasil fokus di kawasan yang kurang cahaya tidak akan memuaskan.

Gambar sudut ultra lebar juga bolehj diterima, di mata saya ia agak cantik dan kemas. Warna mungkin sedikit pudar dan nampak tidak begitu meriah dan ceria. Kemudian kesan herotan agak serius dan tidak diperbaiki melalui perisian dengan baik.

Untuk hasil lain seperti makro, gambar jarak dekat atau juga swafoto – ia berada dalam kualiti yang munasabah pada harga peranti. Sensor yang besar 50MP bukan gimik, ada main peranan. Kamera swafoto juga walaupun hanya 8MP, mempunyai hasil yang memuaskan dengan butiran yang dipelihara dengan cukup baik.

Apa-apa pun, untuk penggunaan PdPR dan menjadikan sebagai kamera web – pada hemat kami ia amat memadai. Cuma perlu diingatkan yang perisian yang kami gunakan tadi adalah perisian berbayar dan hanya percuma dalam tempoh singkat.

Bateri
Seperti yang dijangkakan, peranti kelas asas Redmi dengan bateri 5000mAh memang akan memberikan ketahanan yang berpanjangan. Walaupun pengecasan adalah 18W sahaja, ia adalah satu sistem pengecasan pantas yang paling asas dan selamat.
Kapasiti bateri besar ini dan memori 4GB RAM yang tidak boleh memproses banyak aplikasi cukup memberi ketahanan melebihi 10 jam SOT untuk penggunaan produktiviti dan sekitar 8 jam SOT untuk penggunaan hiburan.

Sistem pengecasan pantas 18W ini adalah teknologi Power Delivery jika anda ingin menggunakan USB-C ke USB-C atau cari pengecas QC 3.0 dan ke atas untuk 18W USB-A ke USB-C. Ketahanan yang lama ini mencukupi, lebih-lebih lagi jika seseorang pengguna hanya mengecas peranti waktu malam.
Pesaing
Redmi 10 | Infinix Hot 10s | Realme Narzo 30A |
6.5″ LCD, 2400 x 1080, FHD+, 90Hz (~405 ppi) Corning Gorilla Glass 3 | 6.82″ LCD, 1640 x 720, HD+, 90Hz (~263 ppi) | 6.5″ LCD, 1600 x 720, HD+, 60Hz (~270 ppi) |
Helio G88 (12nm) 2 x 2.0 GHz Cortex-A75 6 x 1.8 GHz Cortex-A55 | Helio G85 (12nm) 2 x 2.0 GHz Cortex-A75 6 x 1.8 GHz Cortex-A55 | Helio G85 (12nm) 2 x 2.0 GHz Cortex-A75 6 x 1.8 GHz Cortex-A55 |
Mali-G52 MC2 | Mali-G52 MC2 | Mali-G52 MC2 |
4/6 GB LPDRR4X | 4 GB LPDDR4X | 4 GB LPDDR4X |
64/128 GB eMMC 5.1 | 64/128 GB eMMC 5.1 | 64 GB eMMC 5.1 |
Kamera Utama 50+8+2+2 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4 | Kamera Utama 48+2+Sensor misteri Megapixel f/1.8+f/2.4+tidak diketahui | Kamera Utama 13+2 Megapixel f/2.2+f/2.4 |
Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.0 | Kamera Hadapan 8 Megapixel | Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.0 |
Tidak kalis air | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
Ada bicu audio | Ada bicu audio | Ada bicu audio |
Stereo | Mono | Mono |
5000mAh (Berwayar 18W) | 6000mAh (Berwayar) | 6000mAh (Berwayar 18W) |
RM649/RM749 | RM499/RM549 | RM499 |
Kesimpulan
Redmi 10 jelas sekali sebuah peranti yang menarik untuk digunakan walaupun harga permulaan sudah semakin tinggi. Tetapi jika kita lihat penawaran pesaing, Redmi ini mempunyai lebih banyak kelebihan. Daripada skrin yang lebih baik, pembesar suara yang lebih sedap, serta kamera yang lebih berkualiti tinggi.
Harga jualan RM649 sebagai permulaan mungkin sedikit mahal, tetapi jika difikir kembali dengan inisiatif PdPR atau bekerja daripada rumah yang masih berlarutan – membelanja untuk peranti yang akan menjamin produktiviti terbaik untuk anda adalah memadai. Kemas kini juga pantas, bateri juga tahan lama – apa lagi yang anda mahukan untuk sebuah peranti dalam kelas ini?
Pro
- Skrin yang cantik dan menarik berbanding pesaing
- Prestasi GPU yang lebih baik berbanding Helio G8x lain
- Pembesar suara stereo yang memuaskan pada kelasnya
- Kamera 50MP menghasilkan butiran gambar yang tajam.
Kontra
- 90Hz tidak begitu lancar dan pantas
- Prestasi keseluruhan tidak begitu memuaskan
- MIUI 12.5 versi global kekurangan banyak ciri menarik berbanding versi China.
- Data mudah alih dan WiFi yang ada masalah tidak stabil.
