Carian
Ulasan Amazfit PowerBuds Pro – TWS Yang Boleh Mengesan Postur Tulang Belakang
October 4, 2021 Fahim Zahar

Amazfit lebih dikenali sebagai jenama yang menawarkan pelbagai pilihan peranti boleh pakai, seperti jam tangan pintas asas dan gelang tangan pintar untuk memantau kecergasan. Bagi yang tidak tahu, mereka juga ada beberapa produk audio dan yang terkini menembusi pasaran tempatan adalah Amazfit PowerBuds Pro.

Set fon telinga nirwayar sebenar ini sedikit unik dan berbeza dengan kebanyakan TWS lain di pasaran. Ia mempunyai beberapa fungsi kecergasan seperti pengimbas nadi dan turut boleh memastikan pengguna tidak sakit tulang belakang dengan mempunyai pemberitahuan cara duduk yang ergonomik.


Spesifikasi Dan Rekaan

Amazfit PowerBuds Pro
JenisFon dalam telinga
PemanduLCP liquid crystal diaphragm
Corak berkubah
MikrofonEnam mikrofon
Bateri68mAh setiap fon telinga
510mAh pod pengecas
5 jam 45 minit ANC,
9 jam tanpa ANC
Pod pengecas: Sehingga 30 jam
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
CODECSBC & AAC
Sistem operasi disokongAndroid, iOS
Sokongan pembantu mayaGoogle Assistant
KawalanPicit Dan Sesentuh
Kemampuan kalis airIP55
Sensor1x Pengimbas nadi PPG x1 (kanan)
1x Sensor proksimiti
1x Sensor pemecut
1x Sensor tekanan
Harga JualanRM699

Amazfit PowerBuds Pro adalah sejenis TWS fon dalam telinga, tetapi ia mempunyai bentuk yang sedikit berbeza memberikan satu perasaan yang aneh tapi selesa pada masa yang sama. Cuma, untuk membiasakan diri menggunakan TWS ini mengambil masa sedikit kerana bentuk yang berbeza ini. Tetapi bentuk ini juga memberikan seal yang baik pada telinga agar fungsi ANC dan pengalaman pendengaran adalah baik.

Amazfit tidak kongsi butiran pemacu audio yang digunakan, tetapi ia adalah jenis tersendiri yang digelar LCP liquid crystal diaphragm dan mempunyai corak berkubah. Pemacu audio ini menjanjikan bass yang lebih dalam, vokal yang lebih tenang dan treble yang lebih jelas.

Keunikan TWS ini adalah ia merupakan satu alat kecergasan kerana mempunyai pengimbas nadi PPG optikal pada fon telinga kanan. Ia turut mempunyai sensor kedekatan, sensor pemecut serta sensor tekanan. Untuk mikrofon pula, TWS ini mempunyai enam mikrofon dengan 2x mikrofon multi-arah digital + 1x mikrofon panggilan suara pada setiap satu fon telinga. Ia juga adalah untuk sokongan pembatalan hingar aktif adaptif, dan mod tembus bunyi Thru Mode.

Tangkai pada TWS ini juga cukup baik dan kukuh dan mudah untuk tujuan kawalan picit serta pada permukaan untuk tujuan kawalan sentuhan. Binaan keseluruhan ini adalah plastik dengan kemasan kusam, pod pengecas juga agak premium dengan penutup yang sedap dibuka dan ditutup.

Kualiti Audio

Amazfit PowerBuds Pro lebih memfokuskan kepada bass. Bassnya memang cukup dalam dan mempunyai dentuman yang memuaskan. Aras suara juga agak kuat, tetapi tidak bingit dan mempunyai kualiti keseluruhan yang sedap-sedap sahaja. Untuk pementasan audio pula, ia cukup luas memberikan peluang pengguna mendengar muzik dengan lebih terperinci untuk mencari butiran.

Tetapi, jika bass yang kuat bukan kegemaran pada aplikasi terdapat kawalan equalizer untuk kawalan lebih mendalam. Pengguna juga boleh memilih preset yang berbeza mengikut cita rasa masing-masing jika tidak inginkan pengalaman pendengaran yang melebihkan bass berbanding lain.

Apa yang membuatkan TWS ini lebih menarik adalah sistem AI mereka melalui fungsi Motion Beat Mode yang menjadikan bass lebih kuat apabila ia mengesan pengguna mula bersukan seperti berlari dan melakukan pergerakan lain. Meneruskan fungsi yang khusus untuk menjadikan pengguna lebih sihat adalah amaran pendengaran agar aras suara tidak terlampau kuat.

Untuk fungsi pembatalan hingar aktif adaptif, ia seakan tidak berfungsi pada TWS ini. Ia macam ada, tapi macam tiada – hmm macam mana cara mudah yang boleh disampaikan? Begini, apabila diaktifkan akan ada rasa seakan tekanan mula muncul tetapi bunyi bising di sekeliling masih ada. Mungkin kerana perisian yang membawakan fungsi adaptif ini tidak mampu memberikan pengalaman pembatalan hingar aktif sebenar. Adaptifnya boleh dikatakan berfungsi, tetapi bukanlah satu perkara yang baik dan mungkin tidak akan digemari oleh ramai berbanding ANC yang biasa.

Mod tembus bunyi mereka agak berfungsi dan baik. Cuma ada kesan hingar seakan bunyi frekuensi boleh kedengaran. Kualiti panggilan suara atau ketika sesi telesidang agak bagus dan memuaskan, kerana audio jelas dan baik.

Fungsi Tambahan

TWS ini turut membawakan sokongan Smart Recognition of Running yang boleh menentukan aktiviti apa berdasarkan perubahan pergerakan dan mula merekod data berdasarkan apa yang sistem ramalkan. Setiap fungsi kecergasan juga mempunyai sistem notifikasi yang akan memaklumkan pengguna mengenai nadi, kalori terbakar, dan lain-lain. Tetapi ia hanya berfungsi kadangkala sahaja dan banyak kali boleh dikatakan tidak begitu berfungsi.

Pengimbas nadi hanya berada di fon telinga kanan dan cara ia membaca sudah tentulah melalui saraf di sekitar telinga kanan. Ini adalah lokasi yang sukar membaca denyutan nadi yang tepat berbanding menggunakan jam tangan pintar. Data diperoleh juga akan ada beza yang agak banyak sekitar 5 kurang berbanding peranti boleh pakai lain. Ia juga hanya akan mengimbas nadi apabila ada pergerakan sukan dikesan dan tidak boleh imbas secara manual.

Perkara lain yang menjadikan Amazfit PowerBuds Pro ini adalah bahagian tular servikal dapat dikesan sama ada postur kedudukan pengguna elok atau tidak. Ia akan menggalakkan pengguna duduk dalam keadaan yang lebih tegak dan secara ergonomik untuk pastikan bahagian tubuh manusia ini tidak bermasalah.

Penggunaan aplikasi juga mudah, ada banyak kawalan tambahan yang menjadikan ia satu TWS yang agak menarik pada harga yang mampu milik. banyak tetapan seakan penjejak kesihatan asas ditawarkan. Aplikasi adalah Zepp yang mudah digunakan serta boleh digandingkan dengan pelbagai aksesori Zepp lain untuk ekosistem.

Kawalan sentuhan juga agak baik dan mudah digunakan. Sama ada sesentuh pada bahagian permukaan atau picit pada tangkai untuk pelbagai kawalan lain. Ia cukup responsif dah sepanjang penggunaan tiada masalah pun.

Bateri

Amazfit mendakwa ia mempunyai ketahanan 9 jam dan 30 jam (bersama pod pengecas) jika ANC tidak aktif, 5 jam 45 minit dan 19 jam jika ANC aktif. Sepanjang penggunaan hampir sebulan lebih, tiada masalah bateri yang dihadapi dan penggunaan adalah cukup bagus dan tahan lama. Sudah tentu perlu ambil tahu bahagian fokus TWS ini, iaitu kecergasan – sekadar menjejak ketika aktif bermain tali lompatan dan banyak pergerakan dalam bermain Beat Saber – ia boleh diterima.

Secara keseluruhan, dakwaan Amzfit ini boleh dikatakan benar. Pengecasan adalah melalui USB-C dan tiada sokongan pengecasan pantas dan memerlukan masa 2.5 jam untuk dicas sehingga penuh pada pod pengecas.

Kesimpulan

Amazfit PowerBuds Pro memberikan satu pengalaman penggunaan yang cukup berbeza. Mempunyai rekaan unik dan sedikit lain, menawarkan fungsi yang tidak disangka boleh diintegrasikan pada sejenis aksesori audio, serta mempunyai kualiti audio yang boleh diterima – ia sememangnya memberikan satu pengalaman yang puas.

Fungsi kecergasan yang nampak seakan gimik ini ada kekurangannya. Ia berfungsi tetapi tidak cukup hebat dan efisien, mungkin ia boleh dibaiki dalam versi akan datang. Begitu juga dengan sokongan ANC yang hanya ala kadar sahaja dan tidak memuaskan.

Tetapi pada harga RM699, jika anda ingin carikan TWS yang sedikit unik dan berbeza – ia mugkin untuk anda. Jika hanya ingin fokus pada audio, ini bukannya TWS yang sesuai.


Pro

  • Kualiti audio yang baik dengan bass yang dalam.
  • Binaan yang cukup pemium.
  • Bateri tahan lama.
  • Tambatan pantas Google Fast Pair.
  • Kawalan sentuhan yang baik.

Kontra

  • ANC seakan tidak berfungsi.
  • Fungsi kecergasan tidak begitu efisien dan stabil.
  • Kemasan warna putih yang mudah kotor.
Komen