Kingston, jenama storan komputer terkemuka baru-baru ini dilihat memperkenalkan storan luaran terbaru mereka yang menggunakan teknologi storan NVMe dan menggabungkan rekaan padat yang membolehkannya dibawa kemana-mana dengan mudah.
Storan ini dinamakan Kingston XS2000 dan ia hadir dengan rekaan aksesori yang mempunyai saiz sebesar sebiji kunci kereta sahaja, jauh lebih kecil berbanding dengan storan SSD atau cakera keras luaran lain yang mempunyai saiz sekurang-kurangnya dua kali ganda lebih besar daripada SSD Kingston terbaru ini.

Dari segi pilihan storan, Kingston mengatakan bahawa XS2000 ini hadir dengan pilihan storan 500GB sehinggalah 2TB dan mempunyai kelajuan pembacaan dan penulisan data sepantas 2000MB/s menggunakan antaramuka USB 3.2 Type-C.
Bukan itu sahaja, storan Kingston XS2000 ini akan ditawarkan dengan waranti selama lima tahun sekiranya ia menghadapi apa-apa jenis masalah dalam jangka waktu tersebut. Buat masa ini, ia ditawarkan pada harga $99.99 untuk storan bersaiz 500GB, 159.99 untuk storan 1TB dan $284.99 untuk storan bersaiz 2TB.
Setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah Kingston akan menawarkan storan ini untuk pasaran Malaysia.