Cari @ Amanz

Realme Pad Akan Dilengkapi Cip MediaTek HeIio G80, Bateri 7100mAh

Link Copied!

Realme Pad yang juga merupakan tablet pertama keluaran Realme akan membuat kemunculan rasminya pada esok iaitu bersamaan dengan 9 September 2021. Melihat kepada beberapa perkongsian Realme, ia akan dipasarkan sebagai tablet mesra pengguna menerusi rekaannya yang nipis dan kemasan yang ringkas.

Dalam perkembangan terkini, beberapa lagi informasi berhubung spesifikasi utama pada tablet telah didedahkan. Realme pad akan dilengkapi cip MediaTek Helio G80. Namun begitu, sokongan untuk memori dan storan dalaman masih belum diketahui setakat ini. Ia juga akan menggunakan bateri berkapasiti 7,100mAh.

Melaluinya, ia dikatakan mampu beroperasi sehingga 12 jam lamanya untuk tontonan video. Tidak ketinggalan, bateri ini turut sama menyokong pengecasan 18W yang boleh dicas semula menerusi port USB-C. Jelas kelihatan, terdapat juga sokongan dua pembesar suara pada bahagian bawah tablet yang diletakkan bersama-sama dengan port sambungan tersebut.

Terdahulu, spesifikasi untuk paparan telahpun didedahkan. Di mana, ia akan menggunakan skrin bersaiz 10.4-inci beresolusi WUXGA+ 2000×1200 bersama nisbah skrin-ke-badan mencapai 82.5%. Jelas kelihatan, saiz bezel pada paparan hadapan agak tebal. Penawaran penuh akan terjawab dalam pelancaran rasmi, sama-sama kita nantikan.

Sumber : Realme TechLife


Komen ()