Cari @ Amanz

Skrin boleh lipat dan boleh gulung sudahpun wujud di pasaran dengan LG, Samsung dan BOE masing-masing mempunyai sistem tersendiri. Dengan tiga jenis skrin ini, rekaan peranti yang boleh diubah mengikut keperluan pengeluar dapat dihasilkan. Inovasi seterusnya dalam teknologi skrin ialah skrin OLED boleh-regang dengan permukaan skrin menggelembung keluar secara tiga dimensi.

Di acara Global Tech Korea 2021 yang berlangsung di Korea Selatan, Samsung memperlihatkan skrin OLED 13″ yang mempunyai permukaan yang boleh diregang. Pada demo yang diperlihatkan video lava yang mengalir dipaparkan pada skrin. Permukaan skrin turun dan naik mengikut pergerakan lava secara tiga dimensi seakan objek sebenar.

Menurut laporan ETNews, sebelum ini teknologi OLED boleh-regang diperlihatkan Samsung pada tahun 2017. Pada waktu tersebut panel boleh diregang sehingga 5% sahaja. Teknologi yang diperlihatkan kali ini boleh diregang lebih jauh tanpa sebarang kerosakan.

Panel OLED adalah sensitif kepada tekanan dan oleh sebab itu kaca digunakan untuk melindunginya dari kerosakan. Teknologi Samsung ini mempunyai penggunaan untuk paparan yang memerlukan tindak balas tampak. Mungkin boleh digunakan untuk memaparkan kekunci timbul pada skrin atau memaparkan huruf Braille untuk OKU penglihatan. Tiada maklumat bilakah teknologi akan dikeluarkan atau digunakan pada peranti sebenar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd