Razer ialah jenama aksesori permainan komputer yang cukup terkemuka di dunia. Mereka mempunyai pelbagai jenis produk yang sesuai untuk pelbagai jenis gamer yang mahukan aksesori yang lebih premium yang boleh digunakan untuk meningkatkan mutu permainan mereka.

Terkini, Razer telah memperkenalkan tetikus gaming terbaru mereka yang dinamakan Razer Basilisk V3, iaitu sebuah tetikus gaming premium mampu milik yang hadir dengan rekaan dan juga ciri-ciri yang cukup unik sekali. Razer Basilisk merupakan tetikus gaming yang hadir dengan ciri dimana pengguna boleh mengubahsuai pelbagai bahagian dengan cepat dan mudah.

Dengan versi terbaru tetikus ini, Basilisk V3 hadir dengan roda tetikus yang dinamakan HyperScroll Tilt Wheel. Roda tetikus ini membolehkan anda mengubah mod tetikus melalui roda tetikus, dan juga mengubah mod roda tetikus itu sendiri, yang mana ia mempunyai tiga mod berbeza.
Pertama ialah Tactile Scrolling Mode, dimana tatalan roda ini akan mempunyai lekuk-lekuk untuk tatalan yang lebih jitu, Free Scrolling Mode yang mana anda boleh menatal roda tanpa sebarang kekangan, dan juga Smart Reel Mode yang akan berubah daripada Tactile Scrolling Mode ke Free Scrolling Mode bergantung kepada kelajuan tatalan pengguna.

Fungsi Virtual Acceleration turut diperkenalkan yang boleh mempercepatkan tatalan atas skrin untuk mereka yang mahu menatal dokumen panjang dengan lebih cepat. Tetikus ini juga hadir dengan 10 jenis butang yang boleh diubahsuai melalui perisian Razer Synapse dan juga satu butang mengubah profll di bawah tetikus.

Tetikus Basilisk V3 ini juga dilengkapi dengan sistem pencahayaan Razer Chroma yang dikemaskini dengan 11 zon pencahayaan dan juga pencahayaan dari bawah yang boleh diubahsuai menggunakan perisian Synapse.
Dari segi komponen, tetikus Basilisk V3 ini dilengkapi dengan sensor Razer Focus+ 26K DPI yang bukan sahaja membolehkan pengguna untuk menggunakan tetikus ini dengan pelbagai cara, samada mereka mahukan sebuah tetikus dengan pergerakan perlahan ataupun pantas.
Razer mengatakan bahawa tetikus Basilisk V3 ini sudahpun tiba di pasaran tempatan dan boleh dibeli pada harga RM329. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya, anda boleh ke laman web Razer Basilisk V3.