Cari @ Amanz

Sut Terbang Ini Telah Dijual Kepada Tentera Negara Asia Tenggara Yang Dirahsiakan

Link Copied!

Sut terbang telah wujud sejak 1960an dan telah dipopularkan oleh filem James Bond Thunderball pada tahun 1965. Kerana teknologi yang masih belum cukup matang, teknologi sut terbang terkubur selama beberapa dekad kerana ia dilihat tidak praktikal ataupun selamat untuk kegunaan tentera atau komersial.

JetPack Aviation salah sebuah syarikat yang membangunkan sut terbang berkuasa jet telah mengumumkan penjualan dua unit JB-12 kepada tentera sebuah negara Asia Tenggar yang dirahsiakan. Setiap JB-12 dijual pada harga $400,000 (~RM 1.66 juta) sebuah. Rekaan JB-12, kemampuannya dan sistem tujahan yang digunakan juga dirahsiakan.

Sebelum ini JB-11 diperlihatkan dengan enam enjin jet yang dipasang pada sisi serta berkemampuan terbang pada kelajuan mencecah 193 km/j. Sut terbang sebelum ini telah diuji di United Kingdom untuk membolehkan paramedik memberikan bantuan kecemasan di kawasan terpencil. Sementara itu di UK juga Tentera Marin melakukan ujian sut terbang untuk melakukan pendaratan kapal-ke-kapal ketika misi di tengah laut.

Walaupun tentera Asia Tenggara yang membeli JB-12 dirahsiakan, besar kemungkinan ia adalah Singapura. Negara jiran Selatan kita ini mempunyai reputasi menguji teknologi terkini lebih awal berbanding tentera serantau. Robot berunut MILREM sudah diuji dengan sistem senjata yang modular dan kerajaan Singapura juga menggunakan robot untuk pembatasan sosial awal tahun ini.


Komen ()