Sekian lama mengacah, Realme Pad akhirnya dilancarkan secara rasmi dalam sebuah acara yang berlangsung di India, sebentar tadi. Ini merupakan tablet pertama oleh Realme. Dapat dilihat, ia mengetengahkan konsep minimalis dalam kemasannya bagi mudah disesuaikan dengan setiap keadaan.
Untuk spesifikasi khusus, Realme Pad dilengkapi skrin berukuran 10.4-inci beresolusi WUXGA+ atau lebih tepatnya adalah 2000×1200 piksel. Jelas kelihatan, saiz bezelnya juga agak tebal sekaligus menjadikannya mempunyai nisbah skrin-ke-badan mencapai 82.5%. Tidak ketinggalan, ia juga menggunakan bahan binaan berasaskan aluminium secara umumnya.
Seterusnya, Realme Pad dijana oleh cip MediaTek Helio G80 yang dipadankan dengan memori sehingga 4GB RAM, storan dalaman sehingga 64GB dan menggunakan antaramuka Realme UI for Pad berasaskan Android 11. Bateri pula adalah sebesar 7,100mAh dengan pengecasan 18W yang turut sama menyokong pengecasan berbalik.
Dari segi kemampuan audio, Realme Pad dilengkapi empat pembesar suara dengan sokongan Dolby Atmos. Di samping itu, ia juga menampilkan kamera swafoto sebesar 8-Megapixel. Realme Pad ditawarkan dalam dua variasi iaitu Wifi dengan memori 3GB/32GB pada harga INR13,999 (~RM790). Sementara itu, Realme Pad dengan sokongan LTE + Wi-Fi (3GB/32GB) berharga INR15,999 (~RM902) dan model 4GB/64GB pula INR17,999 (~RM1014).