Intel Next Unit of Computing, ataupun lebih dikenali sebagai Intel NUC secara lazimnya ialah komputer desktop bersaiz kecil yang menunjukkan bahawa sebuah komputer desktop tidak semestinya perlu hadir dengan saiz yang besar untuk mempunyai prestasi berkuasa.
Terkini, model komputer NUC ini dilihat telah berkembang ke pasaran komputer riba pula, dan Intel memperkenalkan komputer riba gaming Intel NUC X15 yang dibangunkan khusus untuk pembina komputer riba OEM untuk pasaran global.
Komputer riba ini hadir dengan paparan bersaiz 15.6 inci dengan pilihan resolusi Full HD ataupun QHD dengan kadar segar semula 144Hz, 165Hz ataupun 240Hz bergantung kepada pilihan paparan dan konfigurasi CPU. Bercakap mengenai komponen, Intel NUC X15 ini dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core i7-11800H ataupun Intel Core i5-11400H, memori DDR4 sehingga 64GB dan dua storan SSD NVMe M.2.
Dari segi grafik, Intel NUC X15 ini dimuatkan dengan dua pilihan GPU NVIDIA, iaitu NVIDIA GeForce RTX 3070 ataupun NVIDIA GeForce RTX 3060.
Dari segi I/O, oleh kerana komputer riba ini dikuasakan oleh CPU Intel Rocket Lake-H yang terbaru, ia juga hadir dengan sokongan untuk USB 3.2 Type-C dan Thunderbolt 4 yang menjanjikan kadar penghantaran data yang sangat pantas. Ia juga hadir dengan sokongan WiFi 6 yang dapat memanfaatkan penghala WiFi6 yang membolehkan penghantaran data sehingga 500Mbps secara nirwayar.
Seperti yang dikatakan, komputer riba ini hanya hadir untuk pembina komputer riba OEM, dan tidak akan ditawarkan untuk pasaran pengguna sebagai model sedia ada.
Sumber: Intel