Carian
Opal C1 Adalah Kamera Web Dengan Teknologi Kamera Nircermin – Dibangunkan Oleh Bekas Pekerja Apple Dan Uber
September 10, 2021 Fahim Zahar

Sudah hampir setengah tahun penulis-penulis Amanz bekerja dari rumah, dek kerana pejabat dan studio kami ditutup. Tidak dinafikan yang inisiatif bekerja seperti ini mempunyai banyak halangan. Kaedah kami berkomunikasi di antara satu sama lain adalah melalui perkhidmatan telesidang. Tetapi tidak semua boleh tunjukkan wajah masing-masing kerana kamera web tidak berkualiti.

Opal Camera iaitu syarikat yang ditubuhkan oleh bekas pekerja Apple, Beats dan Uber, baru-baru ini hadir dengan kamera web serba baharu dan unik – Opal C1. Ia adalah kamera web dengan teknologi kamera nircermin dan dihasilkan khusus untuk pengguna Mac.

Kamera web ini menggunakan sensor 4K 7.8mm daripada Sony yang menyokong rakaman sehingga 4K 4056 X 3040 pada kadar 60 bingkai per saat. Bukaan sensor adalah f/1.8, yang membenarkan 2.4x cahaya masuk berbanding kebanyakan kamera web lain. Ia turut menggunakan lensa 6p dengan sudut padangan 78 darjah, jarak fokal 10cm ke infiniti, dan lensa adalah jenis melengkung.

Kamera ini turut hadir dengan mikrofon MicMesh daripada tiga mikrofon multi-arah yang menyokong pembatalan hingar untuk kualiti audio yang lebih terang dan jelas.

Kamera web ini turut dijana dengan cip pemprosesan mereka tersendiri Opal Trillium, dibina oleh Intel dengan rekaan 14nm dan mempunyai algoritma tersendiri untuk pasca-proses. Walaupun kamera ini adalah jenis terus pasang dan pakai, Opal turut menawarkan perisian khas untuk macOS agar pengguna boleh kawal tahap kecerahan, mod kecantikan, kesimbangan warna putih, menambah logo dan lain-lain kawalan tambahan.

Aplikasi ini juga boleh menambah penuras atau melakukan rakaman dengan kesan bokeh.

Kamera ini dibina daripada bahan aluminium gred-aero, dengan rekaan minimalis yang unik cantik dan kelihatan premium. Mereka menawarkan warna hitam atau putih.

Opal C1 ini dijual pada harga $300, iaitu sekitar RM1,242 dan setiap belian akan menerima kamera, cagak, penutup lensa dan kabel USB C-C. Buat masa ini, jualan masih terhad kepada jemputan sahaja dan di pasaran terpilih.

Komen