Samsung kini dalam perancangan untuk hadir dengan sebuah lagi peranti di bawah siri Galaxy M di India. Peranti tersebut akan dikenali sebagai Samsung Galaxy M52 5G dan ia telah mula disenaraikan menerusi laman web rasmi dengan nombor model SM-M526B / DS. Malangnya, penyenaraian tidak pula mendedahkan sebarang informasi utama pada peranti tetapi ini memberi gambaran bahawa ia akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Dalam perkembangan terkini, rekaan fizikal peranti telah mula didedahkan menerusi beberapa imej pengolokan tular. Ia menunjukkan peranti ini akan mempunyai panel belakang dengan kemasan berjalur menegak seperti mana yang terdapat pada beberapa model Galaxy M sebelum ini.
Panel belakang ini juga dipercayai menggunakan bahan berasaskan plastik. Seterusnya, peranti ini turut mempunyao modul kamera berbentuk segi empat lengkap dengan tiga lensa kamera yang disusun secara menegak. LED Flash turut diletakkan bersebelahan lensa kamera berkenaan.
Panel hadapan adalah sejenis rata dengan rekaan skrin berlubang untuk perletakan kamera hadapan pada bahagian tengah. Turut kelihatan, sebuah pengimbas cap jari diletakkan pada sisi kanan peranti merangkap butang kuasa. Butang laras suara juga turut ditempatkan pada sisi yang sama.

Untuk spesifikasinya, Samsung Galaxy M52 dijangka hadir dengan skrin 6.7″ AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Ia juga akan menggunakan cip Snapdragon 778G yang dipadankan dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Bateri pula adalah 5000mAh yang menyokong pengecasan 15W. Tetapan kamera peranti terdiri dengan 64MP+12MP+5MP dan kamera hadapan pula adalah 32MP.
Buat masa ini belum ada sebarang informasi mengenai tarikh khusus mengenai pelancaran peranti. Tetapi, Samsung dijangka memperkenalkannya dalam masa terdekat ini.
Sumber : Ishan Agarwal, Gsmarena