Realme Malaysia hari ini berkongsi perancangan untuk hadir dengan penawaran peranti boleh-pakai baharu. Melaluinya, mereka akan memperkenalkan Realme Band 2 dan pelancarannya telah dijadualkan berlangsung pada 15 September 2021. Setakat ini, tiada informasi lanjut mengenai spesifikasi Realme Band 2 yang dikongsi oleh pihak Realme.
Namun begitu, rekaan yang diperlihatkan menerusi poster rasmi adalah mirip dengan imej pengolokan yang pernah tular sebelum ini. Turut dapat dilihat, rekaannya di sini mengambil inspirasi daripada Huawei Band 6 lengkap dengan skrin segi empat memanjang bersama kemasan sisi yang melengkung. Tetapi, tidak mempunyai butang fizikal di sisi.
Seterusnya, tali jam pula seakan diperbuat daripada silikon manakala bahagian penyangkuk adalah dari jenis standard sama seperti kebanyakan jam tangan biasa. Seperti biasa, penawaran lebih lanjut akan terjawab sewaktu pelancaran rasmi kelak. Sama-sama kita nantikan.