Cari @ Amanz

Baru-baru ini, kita disajikan dengan laporan mengenai liputan rangkaian 5G di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya dijangka akan mencapai ke tahap 10% menjelang penghujung tahun hadapan. Seiring dengannya, sudah pasti kita akan melihat lebih banyak peranti dengan rangkaian 5G terbina akan dikemaskini dari masa ke semasa oleh pelbagai pengeluar. Namun, perlu diakui juga peranti 5G di pasaran sekarang menjadi semakin mampu milik.

Hal ini merujuk di Malaysia sendiri dan Samsung Galaxy A22 5G adalah satu satu model yang kita ada. Harga jualannya adalah di bawah RM1,000. Tidak hanya itu, ia juga mengetengahkan pelbagai penawaran menarik lain seperti skrin 90Hz, kamera 48-Megapixel, bateri 5000mAh dan lain-lain. Tetapi, adakah peranti ini mampu memberikan penggunaan berbaloi untuk segenap pengguna hari ini? Pada artikel ulasan kali ini, kami akan berkongsi berkongsi lebih lanjut mengenai prestasinya dalam dunia nyata.


Spesifikasi Ringkas Peranti

Telefon PintarSamsung Galaxy A22 5G
Skrin6.6-inci, TFT LCD, 90Hz, FHD+, 1080 x 2408 (FHD+) (~399 ppi)
PemprosesMediaTek Dimensity 700 5G (7nm)
2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G57 MC2
RAM8GB RAM
Muatan Dalaman128GB ROM
Kamera UtamaUtama – 48MP (f/1.8)
Sudut Ultra-Lebar – 5MP (f/2.2)
Kedalaman -2MP (f/2.4)
Kamera Swafoto8MP (f/2.0)
Bateri5,000 mAh
Pengecasan 15W
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano + MicroSD
NFCTiada
Bicu AudioAda
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari fizikal
Imbasan Wajah
Harga JualanRM999

Reka Bentuk

Samsung Galaxy A22 5G membawakan rekaan peranti yang berasaskan plastik dengan kombinasi kemasan matte. Di sini, anda sememangnya perlu berkompromi dengannya. Ini mungkin disebabkan antara langkah oleh Samsung untuk menjimatkan kos pembuatan peranti. Merujuk kepada laman rasmi Terdapat beberapa pilihan warna menarik yang ditawarkan seperti Gray, Mint dan Violet. Kesemuanya kelihatan cantik-cantik belaka. Tetapi secara peribadi, kami lebih menyukai Samsung Galaxy A22 5G dalam kemasan berwarna Violet seperti unit ulasan ini. Melaluinya, ia menunjukkan peranti dengan penggunaan warna ungu yang lembut.

Pada kami, warnanya ini nampak menenangkan sahaja dan tidak terlalu menyerlah mahupun kusam. Seperti apa yang dilihat, kombinasinya turut sama nampak menarik bagi menaikkan kesan pada bahagian belakang peranti. Di samping itu, ia juga mampu memberikan keselesaan yang optimum ketika dipegang walaupun terasa sedikit licin pada panel belakang. Ini mungkin disebabkan oleh rekaan pada peranti yang tidak terlalu besar atau terlalu kecil.

Tapi sayangnya, ia sangat mudah memerangkap kotoran. Jadinya, kalau nak peranti kekal bersih dan nampak lawa sama seperti sewaktu awal dikeluarkan daripada kotak. Seperti biasa, penggunaan kerangka adalah amat disarankan. Kami tidak pasti untuk unit pembelian anda, tetapi unit di tangan kami tidak didatangkan dengan sebarang kerangka percuma.

Seterusnya, sisi kanan adanya pengimbas cap jari. Ianya terbina pada butang kuasa. Kami akui, pengimbas cap jari ini diletakkan pada kedudukan yang baik. Tetapi, ia tidak mesra dengan pengguna kidal. Selain itu, prestasinya juga tidak konsisten – di mana, ada masanya ia menunjukkan prestasi yang cepat dan ada masanya juga memakan masa beberapa saat untuk membuka peranti.

Seperkara lagi, kami juga rasakan ia masih perlu diperbaiki kerana kadang kala terdapatnya isu peranti gagal mengimbas cap jari dengan baik. Apabila keadaan ini berlaku, kami terpaksa memasukkan kata lalu yang telah ditetapkan untuk membuka peranti ini. Sebagai alternatif, kami juga ada menggunakan fungsi imbasan wajah yang dilihat prestasinya lebih baik.

Sebagai tambahan lagi, pengimbas cap jari ini turut boleh digunakan untuk beberapa fungsi lain seperti membuka aplikasi kamera dengan cepat. Di mana, anda hanya perlu menekan pengimbas ini sebanyak dua kali. Kemudian, ia juga boleh digunakan untuk menukar antara kamera hadapan dan belakang dengan mudah.

Pada sisi yang sama juga adanya butang laras suara yang selesa untuk ditekan. Seterusnya, sisi pula menempatkan slot untuk SIM. Di sini, Samsung Galaxy A22 5G mempunyai ruangan tiga slot berasingan. Ini bagi memudahkan anda memanfaatkan dua SIM bersaiz nano dan kad microSD secara serentak.

Kemudian, pembesar suara mono, post USB-C dan juga bicu audio 3.5mm pula terletak di bahagian bawah. Kualiti audio adalah biasa sahaja dan tidak begitu kuat. Terdapat juga sokongan Dolby Atmos tetapi anda perlu memasang fon telinga terlebih dahulu. Seperkara lagi yang anda perlu tahu, Samsung Galaxy A22 5G tidak mempunyai kemampuan kalis air. Justeru, jangan berani-berani untuk mencuba merendamnya ke dalam air atau anda perlu membeli peranti baharu sekali lagi kelak.


Paparan

Panel hadapan peranti menggunakan skrin bertakuk kecil Infinity-V pada bahagian atas. Jika dilihat terus pada bahagian bawah, secara terang-terangan anda akan temui kewujudan binaan dagu yang sungguh besar. Jujur kami katakan, inilah perkara yang membuatkan penampilan peranti pada panel hadapan ini menjadi kurang menarik.

Seterusnya, skrin hadapan adalah sejenis TFT LCD bersaiz 6.6-inci. Resolusi pula FDH+ dan turut sama menyokong kadar segar semula mencapai 90Hz. Pada kami, paparannya tidak memberikan masalah sewaktu digunakan.  Kualiti skrin adalah baik dan masih mampu memberikan keterangan yang cukup memuaskan.

Warna juga dilihat ceria yang mana sesuai sahaja digunakan untuk kegunaan menonton video kegemaran atau melihat apa sahaja kandungan pada skrin. Tetapi, kesemua ini hanya berlaku apabila anda menggunakannya di kawasan tertutup. Jika sebaliknya, skrin akan menjadi agak malap terutamanya sewaktu digunakan di bawah cahaya matahari yang sangat terik.


Antaramuka & Pengalaman Penggunaan

Untuk spesifikasi, Samsung Galaxy A22 5G dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 700 (7nm), memori 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Sistem operasi pula adalah Android 11 dengan antaramuka One UI 3.0 Core turut sama digunakan.  One UI Core adalah versi One UI yang dikhususkan untuk peranti mampu milik Samsung. Ia juga sangat membantu dalam memberikan tumpuan yang lebih terhadap pelbagai perkara penting.

Baiklah, jelas sekali menggunakan peranti ini untuk pelbagai tugasan yang asas adalah memadai. Cuma ada masanya, kami perasan ada masalah sela masa pada unit di tangan kami. Ia sering berlaku dalam penggunaan harian dari semasa ke semasa. Mungkin tidaklah begitu kerap, tetapi sewaktu isu ini berlaku ia menimbulkan rasa yang menjengkelkan. Terutamanya apabila mahu membuat pertukaran pada aplikasi. Proses membuka aplikasi menjadi agak lambat. Seperkara lagi, tatalan juga ada kalanya tidak begitu lancar. Keadaan yang sama turut berlaku sewaktu kami bermain permua.

Untuk tetapan permua, Mobile Legend Bang Bang boleh dimainkan mencapai tahap tetapan grafik High. PUBG Mobile pula mempunyai tetapan asal pada grafik HD dan kadar bingkai High. Bagaimanapun, tetapan ini masih boleh mencapai kadar bingkai Ultra apabila dimainkan dengan grafik Smooth dan Balanced.

Seterusnya, COD Mobile pula tetapan lalai adalah pada Low dengan kadar bingkai Medium. Tetapan tertinggi yang boleh dicapai adalah pada Medium dengan grafik High. Akhir sekali, seperti biasa Genshin Impact pula tetapan asal grafik adalah pada ‘Lowest’ dengan mod 30fps. Permainan ini masih boleh dimainkan tetapi anda dinasihatkan untuk tidak berharap untuk rasa pengalaman yang memuaskan.


Kamera

Terdapat tiga kamera di belakang, Samsung Galaxy A22 5G menggunakan 48-Megapixel untuk sensor utama. Seterusya, ia diikuti oleh 5-Megapixel untuk sensor ultra-lebar dan 2-Megapixel untuk sensor kedalaman. Dari segi prestasi, tangkapan adalah baik pada situasi pencahayaan yang cukup. Pendek kata, sangat memadai untuk sebahagian besar penggunaan harian pengguna.

Kawalan warna nampak seimbang dan keperincian pada imej juga terjaga. Seterusnya, keupayaan aufokus yang baik turut sama memudahkan proses tangkapan gambar untuk dibuat. Sensor ultra-lebar memberikan hasil yang sederhana. Kalau perasan, keperincian imej berkurang, terdapatnya masalah hingar dan penghasilan semula warna juga kelihatan agak kelam. Kemudian, hasil kedalaman pula berapa di tahap yang boleh diterima. Tetapi, tidak banyak yang boleh diharapkan melaluinya.

Tidak ketinggalan, hasil gambar mod malam juga memuaskan untuk sebuah peranti dengan julat harga sebegini. Bagaimanapun, terdapat hingar yang agak ketara dan penghasilan warna juga menjadi tidak bermaya untuk sesetengah situasi. Oleh itu, anda perlu mengaktifkan mod malam khusus yang disediakan untuk hasil yang lebih baik. Di mana, anda akan perasan kualiti gambar yang diambil menjadi lebih terang, jelas dan baik. Untuk tetapan video, Samsung Galaxy A02s turut boleh merekodkan rakaman mencapai resolusi 2K.


Bateri

Samsung Galaxy A22 5G dibekalkan bateri berkapasiti 5,000mAh. Secara purata sokongan bateri pada peranti ini mampu untuk bertahan mencecah lebih 9 jam SOT lamanya dengan bateri berbaki 9% pada skrin 90Hz. Ini adalah untuk penggunaan sepanjang hari termasuklah kami menggunakannya untuk melayari web, menonton video di YouTube, media sosial, menangkap gambar, bermain permua dan sebagainya. Seperti biasa, ia tetap akan berubah bergantung pada penggunaan anda sendiri. Sebagai contoh, ia juga mampu bertahan lebih daripada satu hari suntuk untuk penggunaan peranti yang tidak kerap.


Senarai Pesaing

Samsung Galaxy A22 5GRealme 8 5G Poco M3 Pro 5G
6.6-inci, TFT LCD, 90Hz, FHD+, 1080 x 2408 (FHD+) (~399 ppi)6.5″, IPS LCD, 90Hz, FHD+, 1080 x 2408 (FHD+) 6.5″, IPS LCD, 90Hz, FHD+, 1080 x 2408 (FHD+)
MediaTek Dimensity 700 5G (7nm)
2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
MediaTek Dimensity 700 5G (7nm)
2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
MediaTek Dimensity 700 5G (7nm)
2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Mali-G57 MC2 Mali-G57 MC2 Mali-G57 MC2
8GB RAM
128GB ROM
8GB RAM
128GB ROM
4GB / 6GB RAM
64GB / 128GB ROM
Utama – 48MP (f/1.8)
Sudut Ultra-Lebar – 5MP (f/2.2)
Kedalaman -2MP (f/2.4)
Utama – 48MP (f/1.8)
Makro – 2MP (f/2.4)
Kedalaman – 2MP (f2.4)
Utama – 48MP (f/1.8)
Makro – 2MP (f/2.4)
Kedalaman – 2MP (f2.4)
8MP (f/2.0)16MP (f/2.1) 8MP (f/2.0)
TiadaTiada NFC
Bicu audio 3.5mmTiada Bicu audio 3.5mm
Audio MonoAudio MonoAudio Mono
5,000 mAh
Pengecasan 15W
5,000mAh
Pengecasan 18W
5,000mAh
Pengecasan 18W
RM999RM 899RM699 / RM799

Kesimpulan

Samsung Galaxy A22 5G merupakan usaha Samsung dalam menawarkan peranti dengan rangkaian 5G terbina pada harga mampu milik. Ia memiliki kemasan yang baik dan sedap di dalam tangan, pada masa sama turut menawarkan beberapa bonus lain. Misalnya, adanya bateri serta skrin cukup besar, bicu audio 3.5mm dan lain-lain.

Ia juga lebih sesuai untuk pengguna yang mahukan peranti pintar untuk tugasan asas atau media sosial. Tetapi, bukan untuk pengguna yang fokus pada permainan mudah alih yang ekstrem. Sekiranya anda mencari peranti untuk kegunaan jangka masa panjang, tidak salah untuk mencuba Samsung Galaxy A22 5G. Ini adalah kerana ia mempunyai sokongan rangkaian 5G terbina yang kelak akan disokong sekitar beberapa tahun mendatang.


Pro

  • Rekaan dengan pilihan kemasan warna menarik.
  • Binaan kukuh & selesa di tangan.
  • Sokongan 5G terbina.
  • Keupayaan kamera memuaskan.
  • Bateri tahan lama.

Kontra

  • Masalah sela masa agak ketara.
  • Sekadar sesuai untuk penggunaan asas.
  • Pembesar suara mono.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd