Cari @ Amanz

Fon telinga yang dipasarkan sekarang majoritinya mempunyai kemampuan kalis peluh bagi membolehkannya digunakan ketika bersenam. Tetapi ini masih belum cukup untuk membolehkannya dibawa untuk aktiviti renang. Tetapi paten yang difailkan Samsung yang ditemui oleh LetsGoDigital menunjukkan Samsung mempunyai perancangan melancarkan TWS dengan kemampuan ini.

Rekaan asas adalah mirip dengan Galaxy Buds2 cuma ia mempunyai kemampuan kalis air yang jauh lebih tinggi sehingga boleh dibawa berenang. Apabila ingin digunakan untuk berenang, terdapat aksesori tambahan yang akan memastikan TWS tidak mudah tertanggal. Ini menukar rekaan menjadi seperti sebuah fon telinga dengan gelung leher.

Untuk mengecas, TWS ini dimasukkan semula ke dalam pod pengecas yang disertakan. Menurut paten yang sama, TWS ini mempunyai kemampuan menjejak kelajuan, momentum dan kalori ketika berenang. Kewujudan paten mungkin adalah petanda paling awal fon telinga kalis air ini akan dilancarkan dalam masa terdekat kerana ia segmen aksesori audio yang tidak dihasilkan oleh Samsung setakat ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd