Cari @ Amanz

Format rancangan pertandingan nyanyian telah wujud sejak televisyen muka ke udara di awal kurun ke-20 lagi. Tetapi sejak awal 2000, format rancangan TV realiti menjadi pilihan kerana penonton boleh melakukan undian secara masa nyata bagi menyokong penyanyi yang diminati. Selepas lebih dua dekad format ini juga sudah semakin basi oleh itu format yang lebih terkini diperlukan segera.

Alter Ego ialah siri realiti nyanyian yang akan ke udara di Amerika Syarikat pada 22 September ini. Premis unik yang ditawarkan ialah peserta akan melakukan persembahan dengan tubuh fizikal digantikan dengan avatar 3D di atas pentas. Penonton di rumah akan dapat melihat avatar 3D ini melakukan persembahan seperti mereka benar-benar wujud di dunia fizikal bersama dengan penari latar sebenar menggunakan teknologi realiti terimbuh.

Dengan avatar 3D menggantikan mereka, isu wajah sebenar tidak menarik, kekurangan fizikal dan panel juri yag mungkin tidak adil cuba diselesaikan. Rancangan akan mempunyai panel juri yang terdiri daripada Will I Am, Alanis Morisette, Grimes dan Nick Lachey.

Ini adalah evolusi seterusnya untuk rancangan realiti TV yang sebelum ini cuba mengadili peserta dengan hanya mendengar suara sahaja dan memakaikan mereka dengan topeng yang aneh. Ia selari dengan trend semasa selebriti YouTube menggantikan diri dengan watak 3D dan avatar 3D Memoji menggantikan pengguna pada iPhone.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd