Oppo baru sahaja melancarkan beberapa telefon pintar baru d bawah siri Reno mereka untuk pengguna di Malaysia. Salah satu daripadanya adalah Oppo Reno6. Ia merupakan kesinambungan untuk model Oppo Reno5 yang diperkenalkan sekitar awal tahun lalu. Melaluinya, kita boleh lihat di mana rekaan luarnya sememangnya cukup menarik dengan konsep moden yang bukan sahaja nampak menawan.
Tetapi, ia juga menawarkan gaya yang premium. Tidak habis di situ sahaja, telefon pintar ini juga didatangkan dengan pilihan warna menarik seperti Aurora dan Stellar Black. Di samping, binaan peranti yang cukup baik untuk memberikan keselesaan optimum kepada semua pengguna. Jadi, apakah lagi yang ada pada telefon pintar ini? Di kesempatan ini, mari bersama-sama saya untuk kita meneroka lebih dalam mengenainya.
Spesifikasi Ringkas Peranti
Telefon Pintar | Oppo Reno6 5G |
Skrin | 6.43-inci, AMOLED, 90Hz, FHD+, 1080 x 2408 (FHD+) (~409 ppi) |
Pemproses | MediaTek Dimensity 900 5G (6nm) 2 x 2.4 GHz Cortex-A78 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G78 MC4 |
RAM | 8GB RAM |
Muatan Dalaman | 256GB ROM |
Kamera Utama | Utama – 64MP (f/1.7) Sudut Ultra-Lebar – 8MP (f/2.2) Makro – 2MP (f/2.4) |
Kamera Swafoto | 32MP (f/2.0) |
Bateri | 4,300 mAh Pengecasan Pantas 65W |
SIM/Telefoni | Dual SIM |
NFC | Tiada |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari fizikal Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM1,699 |
Reka Bentuk
Kita mulakan artikel ulasan dengan reka bentuk. Seperti yang diketahui, rangkaian telefon pintar di bawah siri Reno kebiasaannya mempunyai jisim yang ringan dan kemasan cukup elegan. Sama seperti Oppo Reno6 sendiri yang mana kualiti kemasan merupakan aspek utama yang menjadi kekuatan padanya. Cuma cara persembahannya kali ini sedikit berbeza. Sebabnya, Oppo Reno6 menggunakan binaan berkotak dengan skrin dan tubuh yang rata.

Sejujurnya tiada komen negatif daripada kami mengenainya. Ini disebabkan oleh binaan padanya yang cukup padat sehingga mampu menyajikan pengalaman penggunaan yang selesa ketika berada di dalam genggaman. Malahan, penggunaan sisi rata juga sebenarnya sedikit membantu dalam meningkatkan lagi keluasan permukaan peranti. Pada masa sama, ia turut membuatkan peranti kelihatan cukup kemas.
Seterusnya, panel belakang pula menggunakan material dengan kemasan berasaskan matte yang juga selesa sahaja untuk dipegang. Perlu diakui, ia sememangnya bebas daripada kotoran cap jari. Kemudian, anda juga akan perasan di sini adanya warna cerun menawan yang mana kami rasakan ia mampu untuk menyerlahkan lagi gaya elegan si pemakai. Unit ulasan kami ini adalah Oppo Reno 6 dalam kemasan Stellar Black.

Warna ini kelihatan minimalis dan ringkas tetapi jikalau diteliti dengan baik ia adalah koleksi kemasan yang cantik serta mempunyai nilai eksklusif tersendiri. Kalau anda perasan juga, panel belakangnya ini mempunyai kilauan halus yang kita sendiri boleh nampak ia memberikan satu kesan yang lebih menyerlah. Lebih menariknya lagi, warna panel belakang ini juga boleh berubah mengikut sudut pandangan tertentu. Misalnya, ia boleh menjadi warna hitam ke arah biru gelap dan kelabu.
Sebagai pilihan, terdapat juga satu lagi warna dipanggil Aurora. Tapi sayangnya, kami tidak berpeluang untuk melihat keindahannya dengan mata sendiri. Tetapi, Oppo memaklumkan bahawa pilihan warna Aurora turut sama boleh berubah mengikut sudut pandang pengguna. Misalnya, ia boleh berubah menjadi warna biru dan kadang kala menampakkan kemasan berwarna hijau.

Secara keseluruhan, Oppo Reno6 mempunyai rekaan menarik dengan kemasan yang berkualiti. Ianya selesa dipegang dan tidak mudah memerangkap kotoran cap jari. Tetapi, kami mendapati panel belakangnya ini sedikit licin dan bonggil kamera yang digunakan juga agak tebal. Oleh itu, ada baiknya jikalau anda menggunakan kerangka atas faktor keselamatan. Kalau tidak mahu beli tidak mengapa kerana Oppo turut memberikan kerangka silikon secara percuma di dalam kotak pembelian.
Sebelah kanan adanya butang kuasa. Kemudian, butang laras audio pula terletak pada sisi kiri. Sekali lagi tidak ada komen negatif daripada kami untuk kedudukan kesemua butang ini kerana ia sangat ergonomik, sekaligus mudah untuk dicapai. Di samping itu, butang-butang ini juga mempunyai binaan yang kukuh – di mana, ianya tidak longgar atau bergoyang apabila ditekan berkali-kali. Pada masa sama, ia juga langsung tidak menyakitkan jari sewaktu digunakan.

Oppo Reno6 turut menggunakan sokongan pengimbas cap jari pada skrin. Kemampuannya berada di tahap yang baik-baik sahaja dan boleh menyahkunci peranti tanpa sebarang isu melampau. Bercakap mengenai port sambungan pula, Oppo Reno6 menggunakan port USB-C yang diletakkan pada bahagian bawah peranti. Di sini juga, anda boleh temui sokongan pembesar suara mono yang mana kami sedar pasti akan ada sesetengah pihak yang kecewa mengenainya.
Masakan tidak, tanda harga yang sebegini Oppo hanya mampu memberikan sokongan pembesar suara mono. Sedangkan, pengeluar lain ada sahaja yang berani untuk meletakkan sokongan pembesar suara stereo, malah turut dijual pada harga lebih murah. Kita teruskan lagi pada bahagian bawah ini juga adanya ruangan untuk slot SIM. Seperkara yang kami perasan, peranti ini tidak memiliki bicu audio 3.5mm seperti pendahulunya Oppo Reno5.
Paparan
Bergerak ke paparan utama, Oppo Reno6 menggunakan skrin AMOLED berukuran 6.4-inci beresolusi FHD+ dan menyokong kadar segar semula 90Hz. Dekat sini juga, anda akan temui lubang pada skrin untuk peletakan kamera hadapan. Kemudian, bezel pada skrin kiri, kanan dan atas juga nampak sekata. Kecuali, bezel pada bahagian dagu yang masih agak tebal tetap ini adalah perkara biasa untuk kebanyakan telefon dalam kelas yang sama.

Tidak dinafikan, panel 90Hz adalah pertimbangan utama oleh kebanyakan pengguna hari ini sewaktu hendak membeli telefon baharu. Cumanya seperti biasa, panel 90Hz sudah pastinya akan menggunakan bateri yang banyak. Namun begitu, usah risau sebab anda boleh sahaja mengubahnya kepada skrin 60Hz yang pastinya lebih baik untuk jangka hayat bateri lebih panjang. Bagi kami sendiri, skrin 60Hz juga sebenarnya sudah mencukupi untuk penggunaan harian biasa. Kalau setakat untuk penggunaan menatal media sosial atau mungkin berbalas mesej di aplikasi WhatsApp. Secara amnya, ia langsung tidak menunjukkan sebarang masalah.
Namun begitu, kalau perasan masih terdapatnya kekurangan yang jelas di mana ia hanya mempunyai dua tetapan sahaja iaitu standard untuk skrin 60Hz. Seterusnya, High pula adalah untuk skrin 90Hz. Tetapi langsung tiada tetapan untuk sokongan kadar segar semula yang berubah secara automatik seperti kebanyakan peranti yang ada di pasaran. Bagaimanapun, ia sebenarnya bukan suatu isu yang besar untuk diperbincangkan kerana semuanya masih baik-baik sahaja dan pengalaman penggunaan juga lancar sahaja. Cumanya kalau adanya pilihan tersebut sudah pastilah saya akan lebih menghargainya.

Dari segi kualiti, kami juga tidak berhadapan sebarang masalah dengan skrinnya. Apa yang boleh kami katakan skrin mempunyai tahap kecerahan yang memuaskan walaupun sewaktu menggunakannya di luar. Kemudian, penghasilan warna juga nampak cukup baik, terang dan sudut tontonan juga memuaskan. Seperkara lagi, masalah video melimpah ke sisi juga tidak berlaku disebabkan oleh rekaannya yang berkotak.
Antaramuka & Pengalaman Penggunaan
Pemproses MediaTek Dimensity 900 berteknologi 6nm digunakan bersama padanan memori 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Tidak ketinggalan, ia juga dibantu oleh sokongan RAM tambahan secara maya sehingga 5GB yang menjadikan jumlah memori untuk kesemuanya adalah 11GB. Antaramuka pula adalah ColorOS 11.1 yang berasakan Android 11. Beberapa ujian penanda aras biasa juga sempat dijalankan. Keputusan adalah seperti yang dilampirkan di bawah. Di mana, penanda aras Antutu menunjukkan kutipan sebanyak 420,066 mata. Sementara itu, penanda Aras Geekbench pula mencatatkan sebanyak 727 mata dalam ujian satu teras dan 2,129 mata dalam ujian pelbagai teras.

Sepanjang tempoh ulasan dibuat, peranti mampu berfungsi dengan baik untuk kebanyakan situasi. Apa yang boleh kami katakan, penggunaan yang memuaskan boleh dirasai. Skrin 90Hz padanya juga benar-benar memberikan pengalaman penggunaan yang lancar. Seterusnya, ia juga mampu sahaja menjalankan setiap tugasan harian dengan baik dan tidak ada masalah sela masa ataupun kegagalan pemasangan aplikasi yang berlaku. Pada masa sama, proses pertukaran di antara aplikasi juga tidak memberikan sebarang masalah. Ia boleh dilakukan dengan baik-baik sahaja. Senang kata anda sudah pastinya boleh sahaja melakukan pelbagai kerja harian dengan baik sekali.


Cumanya, kalau hendak bercakap mengenai masalah haba. Ia sememangnya berlaku di mana peranti menjadi cepat panas. Keadaan berlaku bukan sahaja sewaktu bermain permua. Malahan, sewaktu sedang membuat panggilan video, menonton video dan menghidupkan sambungan hotspot ketika membuat kerja. Seperkara lagi, Oppo Reno6 juga lengkap dengan sokongan motor linear paksi-X dengan ciri getaran 4D. Secara peribadi, kami rasakan ciri getarannya agak baik.
Tetapan Genshin Impact Tetapan MLBB
Bercakap sedikit mengenai tetapan permua pula, Mobile Legends: Bang Bang boleh dimainkan sehingga grafik High. Seterusnya, permua-permua lain seperti Genshin Impact pula tetapan asal adalah pada ‘Low dengan mod 30fps. Ia bagaimanapun, masih boleh ditetapkan pada grafik lebih tinggi secara manual. Tetapi, pengalaman permainan akan menjadi kurang memuaskan. Untuk PUBG Mobile pula, tetapan asal grafik adalah pada ‘Balanced’ dengan kadar bingkai ‘Medium’.
Kamera
Seterusnya, kita akan melihat pada tetapan kamera pula. Oppo Reno6 dilengkapi sokongan tiga kamera di belakang dengan tetapan 64-Megapixel (utama) + 8-Megapixel (Sudut ultra-lebar) + 2-Megapixel untuk tujuan makro. Kamera hadapan pula adalah 32-Megapixel.

Dari segi kualiti, gambar adalah baik untuk kebanyakan situasi terutamanya dalam situasi pencahayaan yang cukup. Seperti yang dapat dilihat, hasil gambar nampak tajam, terang dan perincian juga berada di tahap memuaskan. Bukan itu sahaja, penghasilan warna juga nampak cukup baik.
Kemudian, hasil gambar pada pencahayaan rendah juga masih agak baik dengan butiran yang dikekalkan. Cumanya, sesetengah keadaan atau situasi tertentu ia terlalu mudah menampak kesan hingar. Bukan itu sahaja, penghasilan semua warna juga kelihatan tidak menyerlah.
Justeru, inilah gunanya mod malam khusus yang ada pada aplikasi kamera. Secara tidak langsung, mod ini sebenarnya sangat-sangat membantu alam menyerlahkan lagi hasil gambar malam. Kalau perasan, tahap keterangan pada imej turut ditambahbaik dan masalah hingar turut sama boleh dikawal dengan baik. Paling penting, objek atau subjek pada imej kelihatan cukup terang.
Mod Malam Dimatikan Mod Malam Diaktifkan
Tetapi, masih terdapat beberapa masalah yang akan dihadapi oleh anda. Antaranya, anda akan perasan sokongan untuk sistem fokusya tidak stabil di mana ia agak sukar untuk fokus pada objek atau subjek. Seterusnya, ia juga mengambil masa yang agak lama iaitu sekitar beberapa saat untuk tangkapan dibuat.
Bercakap mengenai hasil gambar sudut-lebar pula, ia turut sama tidak mengecewakan kerana masih mampu memberikan imej dengan butiran dan perincian yang baik. Bukan itu sahaja, penghasilan warna juga baik. Akhir sekali, mod makro pula kelihatan biasa-biasa sahaja. Sama seperti hasil tangkapan swafotonya yang kami rasakan berada di tahap yang sederhana.
Bateri
Bagaimana dengan ketahanan baterinya pula? Baiklah, sebelum kami berkongsi lebih lanjut mengenainya perlu untuk anda tahu saiz bateri untuk Oppo Reno6 adalah sebesar 4,300mAh. Ia juga menyokong pengecasan pada kuasa maksimum 65W.
Dengan skrin 60Hz, kami boleh mendapatkan bacaan SOT mencapai 9 jam lamanya dengan bateri berbaki 14%. Ini adalah penggunaan peranti secara sederhana. Kemudian, bacaan ini terus menjunam kepada 5 jam 9 minit dengan bateri berbaki sekitar 17% apabila kami menggunakannya dengan lebih kerap. Perlu kami katakan, skrin masih lagi pada tetapan 60Hz.

Untuk skrin dengan tetapan 90Hz pula, kami boleh mendapatkan bacaan SOT sekitar 5 jam dengan bateri berbaki sekitar 10% dan penggunaan pula adalah sederhana. Kesemua situasi yang kami nyatakan ini adalah bergantung sepenuhnya dengan rangkaian 4G LTE. Maka di sini, jelas menunjukkan jangka hayat bateri adalah sepenuhnya bergantung kepada corak penggunaan seseorang pengguna itu sendiri.
Senarai Pesaing
Oppo Reno6 5G | Realme GT Master Edition | OnePlus Nord CE 5G |
6.43-inci, AMOLED, 90Hz, FHD+, 1080 x 2408 (FHD+) (~409 ppi) | 6.43-inci, Super AMOLED, 120Hz, FHD+, (1080 x 2400 piksel) (~409 ppi) | 6.43-inci, Fluid AMOLED, 120Hz, FHD+, (1080 x 2400 piksel) (~410 ppi) |
MediaTek Dimensity 900 5G (6nm) 2 x 2.4 GHz Cortex-A78 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 778G 5G (6 nm) 1 x 2.4 GHz Kryo 670 Prime 3 x 2.2 GHz Kryo 670 Gold 4 x 1.9 GHz Kryo 670 Silver) | Snapdragon 750G 5G (8 nm) 2 x 2.2 GHz Kryo 570 6 x 1.8 GHz Kryo 570 |
Mali-G78 MC4 | Adreno 642L | |
8GB RAM 256GB ROM | 8GB RAM 128/256GB ROM | 8GB RAM 256GB ROM |
Utama – 64MP (f/1.7) Sudut Ultra-Lebar – 8MP (f/2.2) Makro – 2MP (f/2.4) | Utama – 64MP (f/1.8) Sudut Ultra-Lebar – 8MP (f/2.2) Makro-2MP (f/2.4) | Utama – 64MP (f/1.8) Sudut Ultra-Lebar – 8MP (f/2.3) Makro-2MP (f/2.4) |
32MP (f/2.0) | 32 MP (f/2.5) | 16 MP (f/2.5) |
Tidak Kalis Air | Tidak Kalis Air | Tidak Kalis Air |
Tiada | Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm |
Tiada | NFC | NFC |
4,300 mAh Pengecasan Pantas 65W | 4300 mAh Pengecasan pantas 65W | 4500 mAh Pengecasan pantas 30W |
RM1,699 | RM1,499 (8GB/128GB) RM1,699 (8GB/256GB) | RM1,899 |
Kesimpulan
Kesimpulannya di sini, Oppo Reno6 Pro bukan sahaja memiliki tarikan terkini buat si penggemar fotografi sahaja. Sebaliknya, ia juga sarat dengan pelbagai kelebihan lain. Binaan premium bersama kemasan yang menarik ternyata mampu memperlihatkan sisi unik padanya. Ditambah lagi dengan keseimbangan dalam prestasi menjadikannya berada dalam kelas yang tersendiri.

Tapi sayangnya, kekurangan pada bateri yang agak kecil menimbulkan rasa ralat. Namun begitu, Oppo bertindak bijak dengan menyertakan sokongan pengecasan pantas padanya. Satu lagi kekurangan ketara adalah ketiadaan bicu audio 3.5mm dan pembesar suara mono pasti memberi kesan terhadap sesetengah pengguna yang mengharapkannya.
Jadi bagaimana? Adakah anda akan memilikinya satu? Tidak dinafikan pengalaman penggunaan adalah baik-baik sahaja secara keseluruhannya. Sekali lagi kami katakan, Oppo Reno6 sememangnya berada dalam kelasa tersendiri. Meskipun begitu, anda sebenarnya masih perlu tahu apa sebenarnya yang dimahukan.
Pro
- Rekaan yang selesa di dalam tangan.
- Skrin AMOLED dengan sokongan 90Hz yang terasa baik.
- Pemproses baik dalam kelasnya & sokongan 5G terbina.
- Keupayaan kamera baik dengan mod khusus pelbagai.
- Pengecasan berwayar 65W yang pantas.
Kontra
- Bateri agak kecil.
- Pembesar suara mono.
- Ketiadaan bicu audio 3.5mm.
