Cari @ Amanz

Zoom melancarkan beberapa lagi ciri baharu pada aplikasi mereka bagi meningkatkan produktiviti dan memudahkan proses menghadiri sesi telesidang. Ciri paling utama ialah transkripsi masa nyata disokong bagi membolehkan peserta OKU pendengaran atau tidak mahu memasang audio ketika telesidang mengikuti perbincangan yang sedang dilakukan. Kelak sokongan transkripsi dengan alih bahasa secara masa nyata untuk 12 bahasa akan turut diperkenalkan.

Seterusnya ialah pengenalan widget yang mengingatkan pengguna keperluan untuk menghadiri sesi yang telah dimasukkan ke dalam kalender harian. Sebagai insan yang kerap terlupa sesi yang perlu dihadiri, widget yang terpapar pada skrin boleh membantu mengelakkan masalah terlupa.

Zoom Whiteboard pula akan disokong di dalam dunia maya Facebook Horizons Workrooms. Dengan ini mereka yang ingin bekerja di dalam dunia maya Oculus akan dapat menggunakan aplikasi Zoom seperti di sedang bekerja di dunia sebenar.

Sokongan arahan suara turut diperkembangkan. Pengguna boleh bergerak ke slaid seterusnya dengan mengucapkan ‘next slide please’ dan Zoom akan memahaminya dan menukarkan slaid yang sedang dipersembahkan kepada peserta. Akhir sekali Zoom memudahkan kerjasama selepas telesidang dengan ciri menghantar fail yang diperlukan serta menggubah dokumen secara serentak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd