Carian
OPPO Find X3 Pro Photographer’s Edition Diperlihatkan Dengan Kemasan Kulit
September 14, 2021 Effi Saharudin

OPPO Find X3 Pro Photographer’s Edition akhirnya diperlihatkan secara rasmi menerusi akaun Weibo mereka. Peranti ini mempunyai kemasan panel belakang dua tona berkulit seperti yang kami laporkan sebelum ini. Dengan kemasan kulit yang kasar, peranti terasa lebih kemas di dalam tangan dengan ia menyerupai kemasan pada sebuah kamera digital sebenar.

Tidak perubahan dilakukan pada spesifikasi dengan mengekalkan skrin 6.7-inci AMOLED WQHD+ 120Hz adaftif. Seterusnya, cip Snapdragon 888, memori 12GB RAM, storan dalaman 256GB dan bateri berkapasiti 4,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas SuperVOOC 65W.

Di samping itu, ia juga disertakan dengan sokongan kamera yang unik pada bahagian belakang. Melaluinya, ia menempatkan kamera lensa lebar 50MP, lensa ultra sudut lebar 50MP, telefoto 13MP dan mikro 3MP. Sementara itu, kamera swafoto pula sebesar 32-Megapixel. Spesifikasi lain termasuklah – pelindungan IP68, antaramuka ColorOS 11.2 berasaskan Android 11, pengimbas cap jari pada skrin dan banyak lagi.

OPPO Find X3 Pro Photographer’s Edition ditawarkan dengan bekas khas yang hadir dengan kerangka juga dua tona, tali lanyard, pengecas berwarna hitam, kabel pengecas berwarna hitam dan fon telinga. Peranti akan dilancarkan secara rasmi pada 16 September ini.

Komen