Realme bakal memperkenalkan model baharu dikenali sebagai Realme GT Neo2 pada 22 September 2021. Ini merupakan pengganti kepada Realme GT Neo yang dilancarkan di China sekitar bulan Mac yang lalu, pada masa sama turut dikenali sebagai Realme X7 Max di pasaran India.

Menjelang pelancaran rasmi, pihak Realme China telah memuat-naik beberapa imej di Weibo yang memaparkan salah satu pilihan warna untuk Realme GT Neo2. Dikenali sebagai BlackMint, kemasan ini kelihatan menarik dengan penggunaan warna kombinasi terang dan minimalis yang menghasilkan gaya keseluruhan cukup unik.
Melaluinya, Realme mengunakan gabungan rona hijau muda dan hitam untuk dekorasi pada peranti berkenaan. Kemasan hijau berkenaan digunakan sebagai warna utama pada panel belakang peranti. Manakala, hitam pula sebagai jalur yang turut sama menghiasinya. Tidak ketinggalan, slogan Realme iaitu “Dare To Leap” turut dapat dilihat pada panel berkenaan. Katanya, bahagian belakang Realme GT Neo2 diperbuat daripada kaca AG.

Imej dikongsi turut mengesahkan rekaan modul kamera di belakang. Di mana, ia menggunakan sistem tri-kamera dengan sensor utama 64-Megapixel. Ini juga adalah rekaan yang sama boleh ditemui pada Realme GT Neo2 edisi khas Mercedes-AMG yang tertiris sebelum ini.
Untuk spesifikasi lain, Realme GT Neo2 dikhabarkan hadir dengan skrin berukuran 6.62-inci beresolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Ia juga akan menggunakan cip Snapdragon 870, kamera hadapan 16-Megapixel dan bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan 65W.
Sumber : Realme Weibo