Cari @ Amanz

Intel dijangka akan melancarkan platform cip pemprosesan terbaru mereka, Alder Lake pada tahun depan, dan kini, pembuat-pembuat komponen dilihat sedang dalam proses untuk membangunkan komponen papan induk mereka untuk dipadankan dengan cip-cip pemprosesan tersebut.

ASUS adalah salah satu daripada mereka, dan beberapa maklumat telah tertiris baru-baru ini mengenainya. Pertama ialah tentang bagaimana sejumlah daripada papan-papan induk ini tidak lagi akan menggunakan nombor Roman yang secara lazimnya diperlihatkan untuk membezakan antara model baru dan model-model lama.

Kedua ialah papan-papan induk ini hanya akan menyokong penggunaan memori DDR5 sahaja apabila ia dilancarkan kelak. Papan-papan induk ini termasuklah ASUS Z690 ROG Maximus, bersama-sama dengan model-model Formula, Hero, and Apex. Dalam pada itu, tirisan maklumat ini juga mengatakan bahawa papan induk ASUS ROG Strix akan menggunakan memori DDR4 sahaja.

Siri papan induk PRIME secara lazimnya ialah papan induk siri pengguna biasa yang masih lagi mahukan fungsi dan ciri-ciri terbaru yang diperkenalkan, dan untuk model ASUS Z690 Prime, ia akan hadir dengan sokongan untuk kedua-dua memori DDR4 dan DDR5, bagus untuk mereka yang masih lagi mahu menggunakan memori DDR4 sedia ada buat masa ini, dan boleh menaiktarafkan penggunaan memori tersebut di masa akan datang.

Butiran lanjut mengenai papan-papan induk ini tidak diketahui lagi, tetapi ASUS dijangka akan memperlihatkan papan-papan induk ini sekitar penghujung tahun ini kelak.

Memori DDR5, yang nampaknya akan diperkenalkan secara umum melalui pelancaran CPU Intel generasi ke-12 kelak hadir dengan sejumlah besar penambahbaikan berbanding dengan DDR4, termasuklah kelajuan memori yang lebih tinggi, sela-masa yang lebih rendah, penggunaan tenaga lebih cekap dan juga kapasiti memori yang berpotensi lebih tinggi semua pada saiz yang sama.

Sumber: VideoCardz

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd