Apple iPhone 13 | 13 Mini Dilancarkan Dengan Cip A15, Takuk Kecil, Kamera Sensor-Shift Dan Harga Mencecah RM5299

Diterbitkan pada Sep 15, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Di acara Apple Event pagi ini Apple telah melancarkan empat model iPhone baharu seperti yang diramalkan sebelum ini. Kita lihat terlebih dahulu dua iPhone yang lebih “murah”, iaitu iPhone 13 dan 13 Mini yang dilihat masih lebih kurang sama dengan iPhone 12 dan iPhone 12 Mini – tetapi dengan penambahbaikan yang lebih menarik.

iPhone 13 hadir dengan skrin sebesar 6.1″ daripada panel OLED dengan resolusi Super Retina XDR dan iPhone 13 Mini pula hadir dengan skrin sebesar 5.4″. Dari segi rekaan pula peranti kini mempunyai panel sisi logam aluminium yang rata menyerupai model tahun lalu. Kaca hadapan pula hadir dengan pelindung seramik yang menurut Apple adalah lebih tahan hentakan.

Pada waktu yang sama skrin peranti kini bukan sahaja menyokong HDR10 tetapi juga HLG dan Dolby Vision. Pada model tahun ini, sistem imbasan wajah Face ID dikekalkan tetapi takuk pada skrin akhirnya lebih kecil kerana earpiece diletakkan pada bahagian bezel atas.

Kedua-dua iPhone ini dijana cip Apple A15 Bionic yang menawarkan 50% kuasa CPU lebih pantas dan 30% kuasa GPU lebih pantas berbanding pesaing.

Konfigurasi dwi-kamera 12-megapixel kini dengan Sensor-Shift untuk sokongan mod malam lebih baik serta mod Cinematic serba baharu. Kamera swafoto juga sama 12 -megapixel. Dwi kamera utama menggunakan sensor sudut lebar dan ultra sudut lebar. Mod Cinematic ini memberikan pengalaman rakaman video seakan merakam video untuk filem dengan fokus dan penstabilan lebih baik.

Kedua-dua iPhone baharu ini masih menyokong pengecasan MagSafe. Ketahanan bateri juga adalah lebih lama daripada iPhone 12 dan iPhone 12 Mini.

Apple menyatakan harga jualan iPhone 13 dan iPhone 13 Mini akan kekal sama dengan harga pelancaran iPhone 12 dan iPhone 12 Mini pada tahun lepas.

Apple iPhone 13 ditawarkan pada harga bermula dari RM 3899 untuk storan sebesar 128GB dan meningkat ke RM5299 untuk model dengan 512GB dengan kapasiti 64GB akhirnya dilupakan. Sementara itu Apple iPhone 13 Mini pula dijual pada harga bermula RM 3399 untuk model 128GB dan RM4799 untuk model 512GB. Warna yang ditawarkan pula ialah merah jambu, biru, Midnight, Starlight dan Product (RED).

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami