Cari @ Amanz

Seperti yang dikatakan tadi, di acara Apple Event sebentar tadi terdapat 4 model iPhone dilancarkan. Selepas iPhone 13 dan iPhone 13 Mini, Apple turut melancarkan iPhone 13 Pro dan 13 Pro Max. Seperti iPhone 13, ia turut menggunakan rekaan sama pada tahun lepas dengan sedikit sahaja perubahan. Ia dijana dengan cip Apple A15 Bionic 5nm, menggunakan skrin OLED Super Retina XDR dan mempunyai konfigurasi kamera lebih hebat.

Akhirnya, selepas sekian lama menanti Apple menyertakan sokongan kadar segar semula 120Hz untuk iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max melalui teknologi ProMotion. Saiz skrin adalah 6.1-inci untuk iPhone 13 Pro dan 6.7-inci untuk iPhone 13 Pro Max. Peranti ini menggunakan bahan binaan premium yang sama iaitu Ceramic Shield dan Aluminium untuk menjamin ketahanan peranti.

iPhone 13 Pro dan 13 Pro Max mengekalkan tetapan tri-kamera dan juga sensor LiDAR. Dengan sokongan LiDAR dan algoritma Apple yang terkini, ia juga mampu mengoptimasikan kualiti gambar dan video seperti menyokong rakaman yang mod malam lebih baik serta rakaman video 4K HDR, Apple ProRes, atau juga Dolby Vision HDR.

Konfigurasi tri-kamera ini adalah daripada sensor Pro 12MP f/1.5 sudut lebar, ditemani dengan sensor 12MP f/1.8 sudut ultra-lebar dan juga sensor 12MP f/2.8 telefoto seperti model tahun lepas. Penambahbaikan lain yang diperkenalkan adalah semua sensor menyokong mod malam, mod makro pada sudut ultra lebar atau juga Photographic Styles. Sudah tentu, mod Cinematic yang diperkenalkan pada iPhone 13 dan iPhone 13 Mini juga ditawarkan.

Apple juga mengekalkan perlindungan IP68, bateri yang lebih tahan lama, serta turut mempunyai sistem pengecasan MagSafe. iPhone 13 Pro tahan lebih 1.5 jam daripada 12 Pro dan 2.5 jam lebih lama untuk 13 Pro Max berbanding iPhone 12 Pro Max.

iPhone 13 Pro Max bermula pada harga RM5299 untuk storan 128GB dan mencapai sehingga RM7599 untuk storan 1TB. Manakala iPhone 13 Pro pula bermula pada harga RM4899 untuk 128GB dan mencecah sehingga RM7199 untuk 1TB dengan pilihan warna Sierra Blue, emas, perak dan Graphite.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd