Cari @ Amanz

Sonos Beam Terbaru Diperkenalkan – Pembesar Suara Nirwayar Padat Premium Dengan Fungsi Dolby Atmos Berharga RM2699

Oleh Nazrin

Link Copied!

Sonos ialah jenama audio premium yang cukup terkenal sekali di kalangan audiofil kelas bangsawan, dan hari ini mereka telah memperkenalkan generasi kedua pembesar suara padat premium mereka, iaitu Sonos Beam.

Sonos Beam generasi kedua hadir dengan rekaan mirip dengan Beam generasi pertama, tetapi kini dimuatkan dengan sejumlah fungsi yang membuatkannya lebih sesuai digunakan dengan pelbagai penawaran audio yang lebih moden hari ini.

Pertama ialah penambahan sokongan teknologi audio 3D Dolby Atmos yang memberi anda pengalaman menonton filem seakan-akan anda sedang berada didalam panggung ataupun di dalam adegan-adegan filem yang anda sedang tontoni.

Sonos Beam terbaru ini juga menyokong sambungan HDMI eARC (Enhanced Audio Return Channel) yang secara ringkasnya memberi anda resolusi audio 1:1 seperti apa yang dirakamkan didalam studio dan set penggambaran, sekiranya anda memainkan media yang menyokong teknologi penghantaran audio tersebut.

Bukan itu sahaja, Sonos juga telah menambahbaik pengalaman pengguna dari segi pemasangan dan sokongan perkhidmatan penstriman audio melalui Sonos Bar. Dari segi rekaan, ia kini hadir dengan dua palam kabel sahaja, dan mudah dipadankan dengan peranti-peranti pintar anda menggunakan sambungan NFC.

Sonos Beam terbaru ini juga hadir dengan sokongan untuk lebih daripada 100 platform penstriman audio yang tersedia di aplikasi Sonos. Dari segi kualiti audio, Sonos Beam generasi kedua ini mendapat input daripada kumpulan pemuzik Sonos Soundboard yang telah memastikan bahawa kualiti audio yang dipancarkan oleh pembesar suara ini boleh didengari pada kualiti yang terbaik tidak kira genre muzik mahupun corak penggunaan.

Sonos juga mengesahkan bahawa Beam ini akan hadir dengan sokongan untuk Amazon Music Ultra High-Definition yang membolehkannya menstrim lagu pada kualiti nirhilang 24-bit/48kHz sekitar penghujung tahun ini. Bukan itu sahaja, ia juga dilihat akan menyokong format audio Dolby Atmos Music, sebuah format audio baru yang melangkaui kualiti fail audio nirhilang dan master copy sedia ada.

Tidak kira ia digunakan untuk tujuan menonton filem, bermain permainan video ataupun mendengar lagu, Sonos Beam generasi kedua ialah pembesar suara idaman orang ramai bagi mereka yang berkemampuan untuk memilikinya.

Pra-tempah untuk Sonos Beam generasi kedua ini sudahpun dibuka melalui kedai atas talian TC Acoustics di Lazada pada harga RM2699 dan hadir dalam pilihan warna Credenza White dan Credenza Black.


Komen ()