Carian
Sekumpulan Bekas Perisik Mengatakan Mereka Menggodam Rangkaian Sulit Amerika Syarikat Untuk Kerajaan UAE
September 15, 2021 Nazrin

Salah satu klise penceritaan filem berkenaan teknologi dan godaman ialah kebanyakan watak antagonis cerita-cerita ini dilihat sebagai bekas ejen perisik Amerika Syarikat yang mahu membalas dendam terhadap kerajaan tersebut. Fiksyen kini menjadi realiti apabila ia dilaporkan bahawa sekumpulan bekas ejen perisik Amerika Syarikat telah menggodam rangkaian sulit kerajaan negara tersebut bagi pihak Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Project Raven ialah sebuah kumpulan intipan yang terdiri daripada Marc Baier, Ryan Adams and Daniel Gericke merupakan sekumpulan bekas perisik Amerika yang dilaporkan telah menggodam sejumlah mesin pelayan kerajaan Amerika Syarikat dengan tujuan untuk mendapatkan maklumat sulit untuk kerajaan UAE.

Kumpulan Project Raven ini mengesahkan bahawa mereka telah diupah oleh kerajaan UAE untuk mendapatkan maklumat tentang pejuang hak asasi manusia, wartawan dan juga kerajaan-kerajaan lain. Menariknya, mereka juga mengatakan bahawa godaman-godaman ini dilakukan kerana kerajaan UAE mengatakan bahawa operasi-operasi tersebut telah mendapat kebenaran daripada kerajaan Amerika Syarikat sendiri.

Project Raven juga dilihat menggunakan teknologi godaman iPhone Karma yang membolehkan mereka untuk mendapatkan maklumat daripada sebuah peranti iPhone tanpa perlu mendapatkan kebenaran dan kata laluan daripada pemilik peranti.

Ketiga-tiga penggodam ini telah memasuki persefahaman dengan kerajaan Amerika Syarikat untuk mengaku bersalah dan memberi maklumat mengenai klien mereka untuk mengelakkan daripada dikenakan hukuman penjara. Mereka juga diarahkan membayar pampasan $1.65 juta kepada kerajaan Amerika Syarikat, dan kini tidak dibenarkan untuk mencari pekerjaan dimana mereka boleh meminta akses kepada pangkalan data kerajaan tersebut.

Sumber: Reuters

Komen